MIDF Research jangka permintaan sarung tangan getah dalam sektor penjagaan kesihatan kekal lemah | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka permintaan sarung tangan getah dalam sektor penjagaan kesihatan kekal lemah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mei - MIDF Research menjangkakan permintaan sarung tangan getah daripada sektor penjagaan kesihatan kekal lemah berikutan lebihan inventori semasa penularan wabak COVID-19 sebelum ini.

 

Firma itu berkata, permintaan untuk sarung tangan sukar untuk diramal dengan sesetangah pihak terlibat dengan aktiviti pembelian manakala sebahagian yag lain mengalami penurunan berikutan lebihan bekalan yang berterusan.

 

Katanya, Hartalega Holdings Berhad melaporkan jumlah jualan lebih tinggi (peningkatan 25% dari suku tahun ke suku tahun) secara berurutan pada 4QFY23, didorong oleh aktiviti penyimpanan semula daripada pembeli berkaitan makanan selepas musim cuti.

 

"Walaupun sektor sarung tangan mungkin mengalami pertumbuhan tahunan yang beransur-ansur, pengembangan kapasiti yang berlebihan oleh pemain sedia ada dan peserta baharu telah menghasilkan jumlah kapasiti pengeluaran yang besar, menjadikannya tidak mungkin kadar penggunaan untuk pemain industri akan pulih ke tahap pra-pandemik melebihi 80% dalam hampir separuh penggal," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu merekodkan rugi bersih RM302.76 juta bagi 4QFY23.

 

Kumpulan itu mengambil keputusan menurup kilangnya di Bestari Jaya untuk meningkatkan kecekapan dan mengoptimumkan kos. Selaras dengan ini, kumpulan mengiktiraf kerugian rosot nilai sebanyak RM347 juta, mengakibatkan kerugian bersih RM218 juta untuk FY23.

 

Firma itu berkata, proses penutupan itu akan mengambil masa kira-kira enam bulan, memberi kesan kepada 2,900 pekerja di kilang Bestari Jaya, di samping berpotensi mengisi beberapa kekosongan jawatan di NGC.

 

Katanya, pengeluaran akan beralih secara beransur-ansur kepada NGC, yang menampilkan teknologi automasi termaju yang meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos.

 

"Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan daya saing Hartalega dengan pembuat sarung tangan China, yang telah meluaskan kemudahan pengeluaran mereka dengan ketara semasa wabak, menghasilkan kilang yang lebih baharu dan lebih cekap.

 

"Dengan menyatukan pengeluaran di NGC, Hartalega menyasarkan untuk kekal kompetitif kos dalam industri," katanya.

 

Firma itu menyemak turun penarafan kepada 'jualan dagangan' dengan harga sasaran (TP) RM1.75 sesaham. - DagangNews.com