MIDF Research jangka SP Setia kekal sasaran jualan hartanah RM4 bilion untuk FY22 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka SP Setia kekal sasaran jualan hartanah RM4 bilion untuk FY22

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mei - MIDF Research menjangkakan SP Setia Berhad akan mengekalkan sasaran jualan hartanah baharu sebanyak RM4 bilion walaupun jualan kumpulan itu mencatatkan penurunan sebanyak 22.8% pada 1QFY22.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu mencatatkan jualan hartanah baharu pada 1QFY22 sebanyak RM679 juta, lebih rendah berbanding RM880 juta yang dicatatkan pada 4QFY21 dan ia hanya menyumbang 17% daripada sasaran RM4 bilion.

 

"Bagaimanapun pihak pengurusan yakin mereka mampu mencapai sasaran jualan RM4 bilion dengan pelancaran hartanah-hartanah baharu pada FY22.

 

"Projek hartanah tempatan menyumbang 92% daripada jumlah jualan bahary manakala baki 8% datang daripada projek di luar negara," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, SP Setia mencatatkan untung bersih RM67.5 juta untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2022 iaitu penurunan 10.27% daripada RM75.23 juta berbanding suku sama tahun lalu dengan hasil kumpulan menurun akibat sumbangan yang rendah daripada segmen pembangunan hartanah dan pembinaan.

 

Hasil kumpulan adalah sebanyak RM867.1 juta, 17.64% lebih rendah berbanding RM1.05 bilion yang direkodkan pada 1QFY21.

 

Segmen pembangunan hartanah menurun sebanyak 17.5% kepada RM822.14 juta daripada RM996.51 juta, menjadikan sumbangan lebih rendah daripada Malaysia dan Singapura.

 

Pendapatan daripada segmen pembinaan menurun kepada RM3.87 juta daripada RM5.12 juta.

 

MIDF mengekalkan saranan 'neutral' terhadap SP Setia dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM1.11 berbanding RM1.33. - DagangNews.com