MIDF Research kekal positif terhadap prospek sektor automotif | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal positif terhadap prospek sektor automotif

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mei - MIDF Research kekal positif terhadap prospek masa hadapan sektor automotif yang memainkan peranan penting dalam membantu pemulihan ekonomi negara.

 

Firma itu berkata, prospek jangka pendek diperkuatkan oleh peningkatan tempahan, pertambahan permintaan yang disokong ketiadaan cukai jualan, kadar faedah yang kompetitf dan peningkatan pendapatan isi rumah.

 

Katanya, Bermaz Auto memainkan peranan penting terutama selepas pengambilalihan francais Kia dan Peugeot yang membantu perkembangan pegangan pasaran dan struktur industri.

 

MBM Resources dan UMW merupakan proksi utama kepada pemulihan sektor yang diberi pendedahan kepada Perodua dan Toyota selain mengawal bahagian terbesar di dalam industri.

 

"Bagaimanapun, sektor itu berisiko berhadapan masalah seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kadar inflasi yang berterusan, peningkatan kadar faedah untuk pinjaman serta nilai Ringgit Malaysia yang lemah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu turut mengekalkan pertambahan 13% untuk unjuran jualan kenderaan (TIV) bagi 2022 kepada 575,000 unit selepas mengambil kira ketiadaan sekatan perjalanan, tempahan yang banyak dan beberapa faktor lain.

 

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sudah mengemukakan permohononan lanjutan pengecualian cukai jualan kepada Kementerian Kewangan bagi kenderaan baharu selepas mengambil kira kekurangan bekalan yang memberi impak kepada pengeluaraan bagi memenuhi tempahan tertunggak.

 

"Sekiranya permohonan itu berjaya, ia bakal menjadi peningkatan positif untuk sektor automotif yang sekali gus membantu pertambahan unjuran jualan pada masa akan datang.

 

"Pertambahan pengecualian cukai jualan selama enam bulan akan meningkatkan unjuran TIV sebanyak 605,000 unit," katanya. 

 

Pada masa sama, firma itu mengekalkan saranan 'beli' untuk Bermaz Auto dengan harga sasaran (TP) RM1.98 selain 'beli' untuk MBM Resources dengan TP RM4.05 dan 'beli' untuk UMW pada TP RM4.20. - DagangNews.com