MIDF Research kekal unjuran ekonomi Malaysia berkembang 4.2% bagi tahun penuh 2023 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal unjuran ekonomi Malaysia berkembang 4.2% bagi tahun penuh 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Nov - MIDF Research mengekalkan unjuran ekonomi Malaysia  berkembang pada paras 4.2% bagi tahun penuh 2023 disokong pemulihan perdagangan luar bermula suku keempat tahun ini dan seterusnya.

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia meningkat pada 2024 dengan pemulihan perdagangan berterusan.

 

Katanya, pertumbuhan itu akan dibantu oleh peningkatan permintaan untuk produk elektrik dan elektronik (E&E) dan semikonduktor.

 

Di samping itu, pertumbuhan pekerjaan dan pendapatan yang positif, termasuk bantuan tunai daripada kerajaan, akan menyokong perbelanjaan domestik untuk terus berkembang tahun depan.

 

"Bagaimanapun, kami melihat risiko inflasi disebabkan perubahan dasar yang dirancang oleh kerajaan merupakan risiko utama kepada perbelanjaan isi rumah, yang telah menjadi salah satu kebimbangan utama yang menjejaskan sentimen pengguna," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Malaysia catat pertumbuhan 3.3% pada suku ketiga 2023, eksport kekal lembap - BNM

 

Terdahulu, eksport kekal lembap berikutan kelemahan permintaan luaran yang berpanjangan. Bagaimanapun, keadaan itu sebahagiannya diimbangi oleh kemasukan pelancong asing yang kembali pulih.

 

Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan, pembinaan dan pertanian terus menyokong pertumbuhan. 

 

Hal itu sebahagiannya diimbangi oleh penurunan pengeluaran dalam sektor perkilangan disebabkan oleh permintaan yang lemah terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta pengeluaran produk petroleum bertapis yang lebih rendah.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, perkembangan lain seperti ketegangan geopolitik dan perdagangan, turun naik dalam pasaran kewangan, kelembapan dalam ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan kerapuhan pemulihan ekonomi China adalah antara risiko penurunan yang juga boleh menjejaskan prospek pertumbuhan Malaysia. - DagangNews.com