MIDF Research kekal unjuran ekonomi Malaysia catat pertumbuhan 4.2% bagi tahun penuh 2023 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal unjuran ekonomi Malaysia catat pertumbuhan 4.2% bagi tahun penuh 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Dis - MIDF Research mengekalkan unjuran bahawa ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.2%, sederhana berbanding pengembangan 8.7% pada tahun lalu.

 

Katanya, walaupun terkesan dengan permintaan luar yang lemah, pertumbuhan berterusan dalam perbelanjaan domestik dan aktiviti pelaburan menyokong pertumbuhan yang mampan pada tahun ini.

 

Ia disokong oleh keadaan pasaran tenaga kerja yang sihat selain pertumbuhan pendapatan positif serta pemulihan dan sektor pelancongan.

 

"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan momentum pertumbuhan bertambah baik daripada suku keempat tahun ini dan seterusnya kerana kami menjangkakan perdagangan luar akan terus menjadi tumpuan menjelang 2024.

 

"Namun begitu, beberapa risiko boleh menjejaskan prospek pertumbuhan seperti ketegangan geo-politik, kemungkinan gangguan bekalan, ketidakstabilan dalam pasaran komoditi dan kewangan serta kemungkinan penurunan mendadak dalam permintaan luar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Indeks Pelopor catat prestasi lebih baik 109.3 mata pada September 2023 - DOSM 

 

Terdahulu, Indeks Pelopor Malaysia bertambah baik kepada -0.3% dengan merekodkan 109.3 mata pada September 2023 berbanding -0.5% pada bulan sebelumnya, menjangkakan prospek ekonomi yang lebih baik dalam masa terdekat.

 

Berdasarkan arah aliran jangka panjang pada September 2023, indeks berkenaan kekal di bawah trend 100 mata dan meskipun masih berada di bawah trend, ekonomi Malaysia dijangka tumbuh sederhana, disokong oleh permintaan domestik yang menggalakkan di tengah-tengah cabaran mata wang dan kelembapan ekonomi dunia.

 

Sementara itu, secara domestiknya firma penyelidikan itu kekal berhati-hati dengan prospek harga yang lebih tinggi memandangkan perubahan dasar yang dirancang kerajaan dan ia dilihat boleh menjejaskan perbelanjaan pengguna pada tahun berikutnya.- DagangNews.com