MIDF Research kekal unjuran Indeks Pengeluaran Perindustrian berkembang 4.2% pada tahun ini | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal unjuran Indeks Pengeluaran Perindustrian berkembang 4.2% pada tahun ini

KUALA LUMPUR 12 Ogos - MIDF Research mengekalkan unjuran pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada 4.2% tahun ini didorong aktiviti pengeluaran yang semakin kukuh pada suku kedua 2024.

 

Katanya, ia menjangkakan menjangkakan permintaan luaran akan pulih, menyokong pengeluaran yang lebih tinggi bagi pelbagai produk eksport termasuk produk elektrik dan elektronik (E&E).

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengeluaran produk berorientasikan domestik juga akan meningkat dengan penggunaan peringkat tempatan semakin berkembang.

 

Bagaimanapun, mereka bimbang mengenai inflasi lebih tinggi akan menjejaskan sentimen pengguna dan rancangan perbelanjaan bersama-sama dengan risiko penurunan yang lain.

 

“Sektor luaran secara serentak boleh dilanda kejatuhan ketara dalam permintaan luar negara, memandangkan kebimbangan baru-baru ini mengenai pertumbuhan lemah di China dan kemelesetan Amerika Syarikat (AS).

 

ARTIKEL BERKAITAN: Indeks Pengeluaran Perindustrian Jun 2024 naik 5%, sektor pembuatan jadi penyumbang utama - DOSM

 

“Kami juga memantau konflik geopolitik yang berlaku sekarang, ia boleh mengganggu aliran perdagangan dunia dan rantaian bekalan global,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini, lapor Bernama.

 

Terdahulu, pertumbuhan output dalam sektor pembuatan merupakan penyumbang utama, dengan peningkatan sebanyak 5.2% (Mei 2024: 4.6%) diikuti oleh pemulihan 4.9% dalam pengeluaran sektor perlombongan (Mei 2024: -6.9%).

 

Pada masa yang sama, sektor elektrik meningkat 3.5% (Mei 2024: 4.5%).

 

Perbandingan dengan bulan sebelumnya, IPP meningkat 4.8% berbanding 3.5% yang direkodkan pada Mei 2024.

 

Kenaikan 5.2% dalam sektor pembuatan pada Jun 2024 didorong terutamanya oleh pengembangan dalam industri berorientasikan eksport pada 5.4% (Mei 2024: 3.7%), mencatatkan pertumbuhan tertinggi sejak September 2022. - DagangNews.com