MIDF Research mulakan liputan terhadap Glomac dengan saranan 'beli, TP RM0.48 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research mulakan liputan terhadap Glomac dengan saranan 'beli, TP RM0.48

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jun - MIDF Research memulakan liputan terhadap Glomac Berhad dengan saranan 'beli' pada harga sasaran RM0.48 berdasarkan diskaun Nilai Aset Bersih Dinilai Semula (RNAV) sebanyak 72%.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu digemari kerana memiliki strategi khusus dalam memberi fokus kepada julat harga mampu milik untuk mengekalkan permintaan bagi perojek perumahannya.

 

"Kami menjangkakan prospek penjualan hartanah baharu yang lebih baik untuk FY23 didorong oleh pelancaran projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM470 juta," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih Glomac meningkat sebanyak 29.3% kepada RM36.49 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2022 (FY22) berbanding RM28.22 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Bagaimanapun, pendapatan susut 29.3% kepada RM259.49 juta pada tempoh berkenaan daripada RM366.91 juta, terutamanya disebabkan sumbangan margin yang lebih rendah daripada aktiviti pembangunan hartanah.

 

BACA JUGA: Pendapatan Glomac bagi FY22 susut 29.3% kepada RM259.49 juta 

 

Firma itu menjangkakan, prospek jualan hartanah baharu yang lebih baik pada 2022 disokong oleh pemulihan sektor ekonomi negara.

 

Katanya, perkara itu seharusnya mencukupi untuk mengimbangi kekurangan insentif daripada kerajaan apabila Kempen Pemilikan Rumah berakhir.

 

"Bagaimanapun, momentum pemulihan dijangka sederhana kerana ketiadaan pemangkin yang kuat untuk menyokong minat belian," katanya.

 

Sementara itu, kenaikan kos bahan binaan seperti keluli dan simen menjadi risiko utama kepada Glomac namun mereka tetap menyerap sebahagian daripada kenaikan itu kerana tidak berupaya untuk membebankan pembeli dengan harga yang sangat tinggi.

 

"Kekurangan tenaga keraja akan memperlahankan kemajuan projek Glomac dan memungkinkan pembeli hartanah menuntut Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) sekiranya projek yang dibangunkan gagal disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan," katanya. - DagangNews.com