KUALA LUMPUR 19 Ogos - MIDF Research memulakan liputan terhadap Hup Seng Industries Bhd. dengan saranan 'beli' pada harga sasaran 79 sen.
Penilaian itu berdasarkan kaedah model diskaun dividen (DDM), dengan kos purata wajaran modal (WACC) sebanyak 8.9% dan kadar pertumbuhan mampan sebanyak 2%.
Firma itu optimis dengan prospek jangka panjang Hup Seng kerana jenamanya yang sudah terkenal dalam industri biskut di negara ini.
"Selain itu, ia juga mempamerkan bayaran dividen yang konsisten berikutan operasi aliran tunai yang positif dan kedudukan kunci kira-kira yang kukuh dapat memberi daya tahan ketika berdepan dengan krisis.
"Pada masa sama, usahanya untuk menggunakan platform e-dagang dapat membantu merangsang jualan dan sentiasa merekodkan keuntungan sejak disenaraikan pada 2 November 2000," katanya dalam nota kajian hari ini.
Sejak memulakan pengedaran dalam pasaran 64 tahun lalu, biskut Hup Seng, khususnya Hup Seng Cream Crackers di bawah jenama Cap Ping Pong, telah menjadi sebutan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Produk biskut menjana 96.2% daripada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21) manakala produk minuman dan ejen lain hanya menyumbang 3.8%.
Kumpulan mengeksport produknya ke lebih 40 buah negara dengan pasaran utama ialah Myanmar, Thailand, Singapura, Indonesia dan Arab Saudi.
Menurut MIDF Research, sejak disenaraikan, kumpulan itu kekal untung selama 21 tahun, termasuk mengharungi pelbagai krisis, antaranya, pandemik COVID-19.
"Ini menunjukkan keupayaan syarikat untuk kelangsungan hidup jangka panjang dan keupayaannya untuk mengekalkan keuntungan dari semasa ke semasa," katanya.
Firma itu menjangkakan kumpulan akan merekodkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 3 tahun sebanyak 4.1% bagi FY24, bersamaan RM333.4 juta memandangkan permintaan produk biskut dijangka kukuh dan banyak harga jualan telah diselaraskan.
"Dari segi pecahan jualan mengikut campuran produk, kami menjangkakan produk biskut akan terus menonjol, mencakupi 97% daripada jumlah jualan pada FY22 hingga FY24.
"Kami juga menjangkakan jualan domestik akan terus menyumbang 75% daripada jumlah jualan dan eksport sebanyak 25%," jelasnya.
Setakat 11.49 pagi ini, harga saham Hup Seng kekal tidak berubah pada 73 sen dengan 23,700 saham diniagakan. - DagangNews.com