MIDF Research mulakan liputan terhadap Swift Haulage dengan saranan 'beli' TP RM1.28 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research mulakan liputan terhadap Swift Haulage dengan saranan 'beli' TP RM1.28

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 21 Dis - MIDF Research memulakan liputan terhadap Swift Haulage Bhd. yang disenaraikan pagi ini dengan saranan 'beli' pada harga sasaran RM1.28 sesaham. 

 

Syarikat bersepadu logistik ini baru sahaja menyertai Papan Utama Bursa Malaysia dengan harga sahamnya dibuka 10 sen lebih tinggi atau meningkat 9.71% pada RM1.13 berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) pada RM1.03. 

 

Penilaian yang diberikan firma itu diperoleh dengan menambat pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022 (FY22) sebanyak 6.98 sen kepada sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 18.3x. 

 

"Kami menyukai Swift Haulage kerana kepelbagaian model perniagaannya, jumlah kenderaan komersialnya yang besar dan margin keuntungan yang unggul," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Swift Haulage diperbadankan pada 29 November 2000 dan terlibat dalam perkhidmatan bersepadu logistik merangkumi kontena haulage, pengangkutan darat, gudang dan perkhidmatan agensi penghantaran barang. 

 

Ibu pejabat dan operasi logistiknya terletak di Malaysia manakala operasi di Thailand memberi fokus kepada penghantaran barang dan pengangkutan rentas sempadan.

 

Penyenaraian kumpulan di Bursa Malaysia membabitkan terbitan sehingga 314.1 juta saham yang terdiri daripada terbitan awam sebanyak 157.1 juta dan tawaran untuk jualan sehingga 157 juta saham.

 

Menerusi terbitan ini, kumpulan menyasarkan untuk mengumpul hasil kasar sebanyak RM161.9 juta yang akan digunakan untuk perbelanjaan modal, pembayaran balik pinjaman bank dan perbelanjaan pinjaman. 

 

Selepas penyenaraian, modal saham yang diperbesarkan ialah 889.8 juta saham.

 

MIDF Research menjangkakan hasil kumpulan akan berkembang dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 3.8% sehingga tahun kewangan 2023 (FY23). 

 

Katanya, pertumbuhan ini disumbangkan terutamanya menerusi pengembangan kapasiti gudang dan saiz armada kenderaan kumpulan serta Elaun Cukai Pelaburan (ITA) yang diberikan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). 

 

"Kami juga mengambil kira pertumbuhan tahunan kira-kira 5 hingga 20% sebagai pemacu utama bagi segmen masing-masing dari segi jumlah TEU, jumlah pengangkutan dan kadar penggunaan gudang serta depot kontena. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan untung bersih kumpulan akan berkembang dengan CAGR 3 tahun pada 10.9% dalam tempoh yang sama," jelasnya. 

 

Firma itu berkata, dari segi polisi dividen, kumpulan menyasarkan nisbah bayaran dividen sebanyak 30% ke atas keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) pada masa akan datang.

 

"Berdasarkan ramalan pendapatan kami sebanyak RM48.3 juta bagi FY21 dan harga terbitan RM1.03, ini mencerminkan hasil dividen sebanyak 1.6%," tambahnya. 

 

Setakat 11.17 pagi ini, saham Swift Haulage paling rancak diniagakan dengan harga dagangannya kekal tidak berubah pada RM1.02 dengan 118.65 juta saham diniagakan. - DagangNews.com