KUALA LUMPUR 30 Nov - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Cahya Mata Sarawak Bhd. dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM1.47 daripada RM1.37 sesaham sebelum ini setelah kumpulan merekodkan prestasi kewangan mengatasi ramalannya.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2022, keuntungan teras kumpulan meningkat 27.5% tahun ke tahun kepada RM185 juta, melebihi jangkaan firma merangkumi 90.1% dan 108.8% konsensus daripada tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2022 (FY22).
Susulan itu, ia menaikkan unjuran keuntungan teras bagi FY22 sebanyak 19% kepada RM244.7 juta sejajar dengan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan. Malah, anggaran bagi FY23 juga dinaikkan 8.8% kepada RM201.9 juta.
Menurut firma itu, prospek kumpulan dilihat positif memasuki FY24 sejajar dengan pelancaran projek di Sarawak memandangkan Kerajaan Persekutuan yang baru dibentuk komited untuk membangunkan Malaysia Timur.
Katanya, kerajaan negeri juga sebelum itu menjangkakan suntikan pelaburan kira-kira RM100 bilion menjelang 2030, yang akan menyaksikan kemasukan aliran kerja lebih kukuh.
"Di sinilah Cahya Mata Sarawak akan memanfaatkan kedua-dua kaedah, melalui projek pembinaan dan juga melalui pembekalan bahan binaan, kerana ia adalah pengeluar simen tunggal di Sarawak," katanya dalam nota kajian hari ini.
Keuntungan bersih kumpulan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM154.36 juta, daripada RM53.88 juta setahun sebelumnya, dibantu oleh pengiktirafan muhibah negatif sebanyak RM62.47 juta daripada pemerolehan kumpulan Oiltools.
Hasil yang lebih tinggi juga disebabkan oleh pembalikan rosot nilai sebanyak RM37.69 juta ke atas pelaburan dan pinjaman kepada syarikat bersekutu.
Bagi suku berkenaan, pendapatan meningkat 49.78% kepada RM278.39 juta daripada RM185.87 juta setahun lalu apabila prestasi kumpulan bertambah baik selepas terjejas akibat pelaksanaan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19.
Ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan meningkat 48.52% kepada RM265.95 juta bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2022 daripada RM179.06 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, dengan pendapatan meningkat meningkat kepada RM702.17 juta daripada RM572.93 juta.
Menurut MIDF Research, perniagaan fosfat kumpulan (yang memiliki 60% pegangan dalam Malaysian Phosphate Additives Sarawak (MPAS) Sdn. Bhd.) merekodkan kerugian sebanyak RM33.5 juta, lebih tinggi daripada RM15.8 juta tahun lalu.
Katanya, berikutan kerugian kadar tukaran tidak direalisasikan yang lebih tinggi disebabkan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), yang mana hutangnya didominasikan dalam mata wang ini.
"Tetapi sejajar dengan panduan yang diberikan pengurusan ketika lawatan kami ke kilangnya di Bintulu bulan lalu, kami menjangkakan empat relau akan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
"Loji MPAS dijangka mencapai neutral tunai pada 2023 dan mampu menyaksikan keuntungan menjelang 2024," katanya.
Ini membolehkan firma itu kekal positif terhadap perniagaan fosfat kumpulan dalam tempoh jangka panjang, yang akan mengatasi Kazakhstan dan Vietnam, dua kuasa besar yang telah menguasai industri fosforus kuning selama bertahun-tahun.
Setakat 9.44 pagi, harga sahamnya menokok 1 sen atau 0.95% kepada RM1.06 dengan 4.65 juta saham diniagakan. -DagangNews.com