MIDF Research optimis terhadap prospek Tasco didorong jangkaan pertumbuhan mampan | DagangNews Skip to main content

MIDF Research optimis terhadap prospek Tasco didorong jangkaan pertumbuhan mampan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Julai - MIDF Research kekal optimis terhadap prospek Tasco Berhad didorong oleh jangkaan pertumbuhan mampan dalam jumlah pemprosesan daripada asas pelanggannya yang pelbagai.

 

Firma itu berkata, bagaimanapun kumpulan itu tetap berhadapan risiko inflasi ke atas kos operasi dan pemulihan yang lebih perlahan dalam jumlah perniagaan pengangkutan mereka.

 

"Kebanyakan pemain industri logistik termasuk Tasco mempunyai klausa pelarasan bahan api dalam kontrak yang melindungi mereka sekiranya berlaku kenaikan harga bahan api," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu melonjak 55% kepada RM24.43 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2022 (1QFY22) berbanding RM15.77 juta setahun lalu didorong oleh pendapatan yang tinggi.

 

Pendapatan kumpulan melonjak 56.3% kepada RM453.56 juta pada suku itu berbanding RM290.05 juta bagi tempoh sama tahun lalu dipacu oleh segmen penyelesaian perniagaan antarabangsa (IBS) dan penyelesaian perniagaan domestik (DBS).

 

IBS menunjukkan peningkatan pendapatan RM138.2 juta tahun ke tahun daripada RM123 juta kepada RM261.2 juta.

 

Segmen DBS kekal teguh untuk mencatatkan peningkatan 15.2% tahun ke tahun dalam hasil daripada RM167 juta kepada RM192.4 juta

 

"Kumpulan itu percaya mereka telah bermula dengan baik untuk tahun kewangan mereka yang berakhir 31 Mac 2023 dengan merekodkan pendapatan serta keuntungan yang kuat," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM1.80 berbanding RM1.62. - DagangNews.com