KUALA LUMPUR 20 Feb - MIDF Research mengunjurkan prospek Gas Malaysia Berhad positif berdasarkan kekuatan permintaan domestik dan peningkatan pasaran tenaga kerja selaras dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 4% hingga 5% pada 2023.
Firma itu berkata, kumpulan itu dilaporkan mempunyai jumlah saluran paip yang ditauliahkan sepanjang 313 kilometer bagi rangkaian saluran paip untuk Tempoh Kawal Selia 1 (RP1).
Sehingga kini, kumpulan itu memiliki 21,430 pelanggan kediaman (88%), 1,847 sektor komersial (8%) dan 1,021 sektor perindustrian (4%), dengan jumlah sumbangan masing-masing sebanyak 0.03%, 0.29% dan 99.68%.
"Namun begitu, tekanan seperti inflasi, peningkatan kos tenaga kerja, pergerakan kadar dasar semalaman (OPR) dan kelembapan ekonomi global dijangka kekal sebagai cabaran utama kepada kumpulan.
"Kami menjangkakan kumpulan itu akan merekodkan keputusan kewangan yang baik bagi FY23," katanya dalam satu nota kajian, hari.
Terdahulu, untung bersih kumpulan itu melonjak sebanyak 37.42% kepada RM95.22 juta suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) berbanding RM69.29 juta bagi suku yang sama pada tahun sebelumnya.
BACA JUGA: Untung bersih Gas Malaysia bagi 4QFY22 melonjak 37.42% kepada RM95.22 juta
Firma itu berkata, ketegangan geopolitik dan kekurangan gas asli di Eropah, akan terus mendorong harga gas asli lebih tinggi di peringkat global.
Bagaimanapun, mereka menjangkakan ia akan dikurangkan oleh jangkaan permintaan yang lebih tinggi untuk gas berikutan pembukaan semula ekonomi China, kelembapan dalam peristiwa cuaca ekstrem dan pembekuan pengeluaran, dan berakhirnya musim pengeluaran daripada inventori gas asli.
"Kami percaya kumpulan itu akan terus memanfaatkan harga gas asli yang tinggi untuk hasil dan pendapatannya, dengan mengambil kira kesan ketinggalan dalam harga, pasaran gas yang tidak menentu semasa yang boleh menimbulkan risiko yang tidak dijangka kepada rantaian bekalan serta jualan untuk pemain tempatan," katanya.
Firma itu menyemak naik unjuran pendapatan kumpulan itu bagi FY23 sebanyak 2% selepas pendapatannya selaras dengan jangkaan mereka sebelum ini.
Bagaimanapun, firma itu menyemak turun unnuran FY24 sebanyak 9% selaras dengan aliran menurun global bagi gas asli dan kelewatan dalam penjualan kontrak selepas FY23.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM4.00 sesaham. - DagangNews.com