MIDF Research positif terhadap prospek Malayan Cement | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap prospek Malayan Cement

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mei - MIDF Research positif dengan prospek masa hadapan Malayan Cement Berhad selepas melihat sektor pembinaan akan kembali meningkatkan operasi mereka selari dengan proses perubahan Malaysia ke fasa endemik.

 

Firma itu percaya, pemulihan semua projek infrastruktur mega di negara ini seperti MRT3 akan menjadi pemangkin utama kepada Malayan Cement.

 

"Pada tahun lalu, kumpulan itu mengambil alih 10 syarikat di bawah YTL Cement dan tindakan itu meletakkan kumpulan itu di kedudukan yang paling dominan dalam industrti simen serta konkrit.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu tetap perlu berhati-hati dengan beberapa faktor lain termasuk peningkatan kos bahan mentah, logistik dan kelewatan menyiapkan projek," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, keuntungan selepas cukai Malayan Cement melonjak kepada RM48.3 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama berbanding kerugian bersih RM3.4 juta tahun lalu.

 

Pendapatan kumpulan itu meningkat sebanyak 73.9% kepada RM1.9 biion untuk tempoh sembilan bulan berakhir Mac 2022 berbanding RM1.09 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu merekodkan pendapatan yang lebih tinggi dan untung bersih berikutan penyatuan hasil 10 syarikat simen dan konkrit campuran siap serta anak syarikat masing-masing yang diambil alih pada September 2021 daripada YTL Cement Berhad..

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' untuk Malayan Cement dengan harga sasaran (TP) RM3.00. - DagangNews.com