MIDF Research positif terhadap prospek MMHE didorong rancangan pengaktifan semula East Yard pada 2023 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap prospek MMHE didorong rancangan pengaktifan semula East Yard pada 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Feb - MIDF Research positif terhadap prospek Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MMHE) yang lebih cekap dengan rancangannya untuk mengaktifkan semula East Yard pada tahun ini.

 

Firma itu yakin segmen kejuruteraan beratnya akan terus mencatatkan peningkatan pada FY23 terutama selepas kumpulan itu bekerjasama dengan Silverstream Technologies dan Bureau Veritas Solutions iaitu firma paling terkemuka dengan perkhidmatan dan produk untuk kapal binaan baharu dan pengubahsuaian.

 

Katanya, ia adalah sebagai penambahan kepada usahanya dalam mengembangkan ladang angin luar pesisir serta perolehan dan penyimpanan karbon (CCS).

 

"Ketiadaan sekatan sempadan dan musim sejuk yang hampir berakhir juga membantu perniagaan marin kumpulan itu, walaupun terdapat banyak persaingan antara limbungan kapal.

 

"Bagaimanapun kami menyukai kumpulan itu kerana mereka memiliki kunci kira-kira yang kukuh dan aliran tunai yang sihat, selain tempahan kerja yang kukuh untuk projek akan datang.

 

"Kumpulan itu juga memiliki usaha berterusan dalam penyelesaian tenaga boleh diperbaharui (RE) dan berusaha dalam memenuhi keperluan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung sebelum cukai sebanyak RM46.7 juta dengan hasil sebanyak RM1.7 bilion ringgit pada FY22.

 

Segmen kejuruteraan berat melaporkan hasil lebih tinggi sebanyak RM1.31 bilion berbanding RM1.22 bilion dalam tempoh 12 bulan sebelum ini terutamanya disebabkan kemajuan yang lebih tinggi bagi projek yang sedang berjalan.

 

Sektor itu juga menambah baik kerugian operasinya - RM8.7 juta pada tahun berakhir 31 Disember 2022 berbanding kerugian operasi sebanyak RM209.1 juta pada tahun sebelumnya, yang terjejas oleh peruntukan kos tambahan.

 

Firma itu berkata, jumlah aset kumpulan adalah sebanyak RM3.36 bilion pada FY22, menurun sebanyak RM32 juta berbanding FY21 sebabkan kutipan yang lebih tinggi.

 

"Bagaiamnapun keadaan itu diimbangi oleh tunai bersih yang lebih tinggi yang dijana daripada aktiviti operasi, pembayaran balik prinsipal sebanyak RM34.4 juta yang menyumbang kepada pinjaman yang lebih rendah dan dana pemegang saham yang lebih tinggi," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan beli dengan harga sasaran (TP) 81 sen sesaham. - DagangNews.com