MIDF Research positif terhadap prospek REIT disokong peningkatan permintaan industri runcit | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap prospek REIT disokong peningkatan permintaan industri runcit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Sept - MIDF Research positif terhadap prospek pendapatan amanah pelaburan hartanah (REIT) pada separuh kedua 2024 disokong peningkatan permintaan bagi industri runcit dan segmen perindustrian di Malaysia.

 

Katanya, pendapatan untuk REIT runcit akan terus disokong oleh pengembalian sewa yang positif kerana industri runcit kekal rancak dengan kehadiran pembeli yang semakin ramai di pusat membeli-belah.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi REIT di bawah liputan mereka pada separuh pertama tahun ini adalah positif kecuali Sunway REIT dan Al-`Aqar Healthcare REIT.

 

"Axis REIT dan Pavilion REIT merekodkan pertumbuhan pendapatan dua angka pada separuh pertama 2024 manakala IGB REIT dan KLCCP Stapled Group mencatatkan pertumbuhan pendapatan satu digit.

 

"Sementara itu, Sunway REIT merekodkan penurunan kecil disebabkan kos pembiayaan yang lebih tinggi. 

 

"Begitu juga, pendapatan Al-`Aqar Healthcare REIT pada separuh pertama adalah lebih rendah disebabkan oleh perbelanjaan yang lebih tinggi dan pendapatan sewa yang lebih rendah daripada bahagian Australia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

MIDF Research kekal positif terhadap Sunway REIT kerana melihat prospek pendapatan yang lebih baik selepas FY25 disebabkan sumbangan pendapatan yang lebih kukuh daripada bahagian runcit selepas penetapan semula Sunway Pyramid Mall selesai.

 

Katanya, Sunway REIT pada 8 Ogos 2024 mengumumkan pengambilalihan Kluang Mall dengan pertimbangan pembelian RM158 juta dan pemerolehan aset itu membolehkan mereka mengembangkan kehadiran aset runcitnya di Johor.

 

Selain itu, katanya, bahagian hotelnya akan mendapat manfaat daripada ketibaan pelancong yang lebih tinggi.

 

"Kami juga melihat prospek pendapatan yang lebih kukuh untuk Pavilion REIT kerana prospek pengembalian sewa untuk Pavilion Mall KL kekal positif manakala sumbangan pendapatan daripada Pavilion Bukit Jalil Mall akan terus menyokong pertumbuhan pendapatan," katanya. - DagangNews.com