MIDF Research 'potong' unjuran pendapatan Gas Malaysia sebanyak 18% dan 13% bagi FY23, FY24 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research 'potong' unjuran pendapatan Gas Malaysia sebanyak 18% dan 13% bagi FY23, FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Nov - MIDF Research menyemak turun unjuran pendapatan Gas Malaysia Berhad sebanyak 18% dan 13% bagi FY23 dan FY24 selepas untung bersih kumpulan itu menyusut sebanyak 11.2% kepada RM84.2 juta pada 3QFY23.

 

Katanya, pendapatan yang lebih rendah adalah disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah, serta kos operasi dan pentadbiran yang lebih tinggi, diimbangi oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada syarikat usaha sama kumpulan dan pendapatan kewangan yang lebih tinggi.

 

Kumpulan itu mencatatkan 26 pelanggan industri baharu dan empat pengembangan pada suku berkenaan tetapi ia diimbangi oleh 12 penamatan kontrak. 

 

Walaupun jumlah gas yang lebih rendah, Gas Malaysia melaporkan operasi saluran paip sejauh 2,803km.

 

"Kami percaya ini menandakan permintaan yang lebih baik untuk gas asli daripada sektor perindustrian dan komersial dalam tempoh terdekat.

 

"Ia sejajar dengan keperluan untuk bahan api yang lebih bersih bagi penjanaan kuasa seperti yang ditunjukkan dalam inisiatif  Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, perolehan kumpulan minyak dan gas itu susut 2.6% kepada RM1.82 bilion pada suku ketiga daripada RM1.86 bilion sebelum ini.

 

Bagi tempoh sembilan bulan 2023 (9MFY23), keuntungan bersih Gas Malaysia merosot kepada RM279.07 juta daripada RM294.32 juta dicatatkan dalam tempoh sama pada 2022 manakala perolehan meningkat kepada RM6.28 bilion dalam tempoh sembilan bulan daripada RM5.43 bilion sebelum ini.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun positif  terhadap kilang penjanaan semula Gas Malaysia, bukan sahaja sebagai hasil baharu tetapi juga sebagai inisiatif bagi mengurangkan lagi 18,000 tan karbon setahun dalam aspirasi ESG kumpulan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.71 sesaham," katanya.- DagangNews.com