MIDF Research ramal KDNK Malaysia berkembang pada kadar 4.7% tahun ini | DagangNews Skip to main content

MIDF Research ramal KDNK Malaysia berkembang pada kadar 4.7% tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Jan -  MIDF Research meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang pada kadar 4.7% tahun ini berbanding 3.8% pada tahun sebelumnya.

 

Katanya, pertumbuhan KDNK yang lebih kukuh disokong oleh pemulihan perdagangan luar selain turut meramalkan peningkatan dalam eksport elektrik dan elektronik (E&E).

 

Selain itu katanya, ia juga akan didorong peningkatan permintaan luar khususnya dari pasaran China dan Amerika Syarikat (AS).

 

"Selain pemulihan perdagangan luar, kami turut menjangkakan pertumbuhan ekonomi tahun ini disokong peningkatan berterusan dalam perbelanjaan domestik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, ekonomi negara secara keseluruhannya berkembang sederhana 3.8% selepas mencatatkan pertumbuhan 8.7% pada 2022.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Ekonomi Malaysia berkembang sederhana 3.8% pada 2023 - DOSM

 

Sektor perkhidmatan meningkat sebanyak 4.7% pada suku tahun keempat 2023 disokong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan serta perkhidmatan perniagaan. 

 

Pada masa sama, sektor perlombongan dan pengkuarian berkembang 3.7% pada suku tahun keempat 2023 dan pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan dalam semua aktiviti terutamanya gas asli dan minyak mentah serta kondensat.

 

Firma penyelidikan itu berkata, melihat kepada perkembangan berterusan dalam sektor perkhidmatan, mereka yakin bahawa pertumbuhan mampan dalam aktiviti perbelanjaan domestik adalah penting bagi menyokong pertumbuhan ekonomi keseluruhan di Malaysia.

 

Katanya, pertambahan kehadiran dan peningkatan perbelanjaan pelancong juga akan menyokong pertumbuhan dalam subsektor penginapan, pengangkutan dan pemborong serta runcit.

 

"Selain pemulihan aktiviti pelancongan, kami menjangkakan perbelanjaan penggunaan akan terus berkembang berikutan peningkatan guna tenaga dan pertumbuhan pendapatan yang positif.

 

"Tambahan pula, bantuan kerajaan seperti pemberian tunai dan subsidi bersasar juga akan membantu menyokong perbelanjaan, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah," katanya. - DagangNews.com