MIDF Research semak naik unjuran pendapatan Bumi Armada sebanyak 5% pada FY24 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research semak naik unjuran pendapatan Bumi Armada sebanyak 5% pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Ogos - MIDF Research menyemak naik ramalan pendapatan FY24 Bumi Armada Bhd sebanyak 5% didorong sumbangan positif daripada barisan kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) kumpulan.

 

Katanya, mereka juga optimis terhadap prospek kumpulan itu disokong kemungkinan lanjutan kontrak FPSO TGT-1 dan Armada Sterling II, permulaan kadar sewaan baharu untuk Armada Sterling V dan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) Akia berkembang pada akhir tahun serta susut nilai lebih rendah untuk FPSO Armada Olombendo dan Armada Kraken kerana menghampiri penghujung piagam mereka.

 

Firma penyelidikan itu berkata, FPSO Armada TGT-1 sedang dalam perbincangan untuk melanjutkan pajakannya selepas tamat kontraknya pada 2025 dan prospek pelanjutannya kelihatan menjanjikan. 

 

"Bagi Projek 98/2 - di mana kumpulan itu mempunyai 30% kepentingan - FPSO Armada Sterling V telah melengkapkan ujian yang diperlukan dan berjaya mencapai penerimaan akhir pada Julai 2024.

 

"Ia menandakan permulaan tempoh sewaan baharu untuk FPSO Armada Sterling V," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Bumi Armada pada 2QFY24 meningkat lebih 2 kali ganda kepada RM265.9 juta

 

Terdahulu, hasil bagi 2QFY24 melonjak 31% kepada RM578.86 juta berbanding RM441.32 juta.

 

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24), untung bersih melonjak 58% kepada RM506.5 juta daripada RM319.78 berbanding tempoh yang sama tahun lepas, sebahagiannya disebabkan oleh penyelesaian kenaikan yuran operasi untuk FPSO Armada Olombendo. 

 

MIDF Research berkata, kumpulan itu telah membayar balik hutangnya berjumlah AS$59 juta (RM258.3 juta) pada 2QFY24, dengan penggearan bersih pada 0.44x,  terendah sejak FY15.

 

Sementara itu, buku pesanan kumpulan itu berjumlah RM12.1 bilion pada 2QFY24, dengan 72% daripada unit FPSO milik penuhnya.

 

"Sebahagian daripada kontrak mengandungi pilhan lanjutan melebihi tempoh kontrak dengan nilai anggaran RM10.9 bilion," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 85 sen sesaham.- DagangNews.com