MIDF Research semak semula unjuran eksport, import lebih tinggi tahun ini | DagangNews Skip to main content

MIDF Research semak semula unjuran eksport, import lebih tinggi tahun ini

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 28 Okt. - MIDF Research menyemak semula pertumbuhan eksport tahun ini lebih tinggi kepada 19.8% berbanding 13.5% sebelum ini berikutan prestasinya yang kukuh direkodkan pada September 2021.

 

Jabatan Perangkaan menerusi Buletin Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia September 2021 yang dikeluarkan hari ini menunjukkan menyaksikan eksport merekodkan nilai bulanan tertinggi dengan berkembang 24.7% kepada RM110.8 bilion berbanding tahun sebelumnya manakala import menokok 26.5% kepada RM84.7 bilion tahun ke tahun.

 

Prestasi dagangan Malaysia bagi bulan tersebut meningkat sebanyak 25.5% kepada RM195.5 bilion berikutan pertumbuhan 2 angka eksport dan import yang kukuh. 

 

 

Baca : Malaysia catat nilai eksport bulanan tertinggi pada Sep 2021 sebanyak RM110.8 bilion

 

 

Dalam nota kajian, MIDF Research berkata, eksport Malaysia berkembang dalam tempoh 9 bulan ini di sebalik pertumbuhan lemah pada suku ketiga disebabkan impak daripada penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh.

 

Firma itu menambah, semakan semula unjuran pertumbuhan eksport lebih baik berbanding jangkaan itu adalah didorong terutamanya menerusi produk minyak sawit dan petroleum. 

 

Pada masa sama, katanya, permintaan yang semakin meningkat bagi produk pembuatan terutama elektrik dan elektronik (E&E) turut membantu menyokong pertumbuhan eksport.

 

"Melihat kepada prestasi eksport yang semakin pulih sejak beberapa bulan ini, kami juga menaikkan unjuran penuh pertumbuhan import bagi 2021 kepada 18.9% berbanding 12.7% sebelum ini. 

 

"Kami menjangkakan import akan terus mencatat pemulihan dan berkembang beberapa bulan akan datang susulan persekitaran perniagaan dan aktiviti ekonomi domestik yang semakin meningkat apabila sekatan pergerakan dilonggarkan dan ekonomi dibuka semula," katanya hari ini.

 

Menurut firma itu, sama seperti eksport, sekatan pergerakan turut menjejaskan prestasi import dengan mencatat pertumbuhan lebih rendah pada suku ketiga dengan 

 

Setakat September 2021, import mencatat pertumbuhan 21.1% tahun ke tahun berbanding 33.3% pada suku kedua.

 

"Di sebalik prospek dagangan yang lebih baik, lonjakan semula jangkitan COVID-19 dan kekangan rantaian bekalan global yang masih berterusan akan terus menjadi risiko penurunan yang akan menjejaskan kekuatan pertumbuhan Malaysia dan sektor perdagangan," tambahnya. - DagangNews.com