MIDF Research semak turun unjuran pendapatan Al-Aqar Healthcare REIT sehingga 4.2% akibat kos operasi tinggi | DagangNews Skip to main content

MIDF Research semak turun unjuran pendapatan Al-Aqar Healthcare REIT sehingga 4.2% akibat kos operasi tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Nov - MIDF Research menyemak turun unjuran pendapatan Al-Aqar Healthcare Real Estate Investment Trust (Al-Aqar REIT) sehingga 4.2% kesan daripada kos operasi yang tinggi.

 

Firma penyelidikan itu melihat prospek pendapatan mendatar untuk Al-‘Aqar kerana pendapatan sewa yang lebih tinggi daripada hartanahnya dijangka diimbangi oleh perbelanjaan yang lebih tinggi.

 

"Bagaimanapun, kami melihat prospek pendapatan jangka panjang kekal stabil kerana pendapatan sewa daripada aset penjagaan kesihatan bersifat defensif.

 

"Kami menyemak turun unjuran pendapatan Al-Aqar untuk FY23/FY24/FY25 sebanyak 4.2%/2.8%/3.4% selepas mengambil kira perbelanjaan amanah yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Untung bersih Al-Aqar REIT susut kepada RM17.59 juta bagi suku ketiga

 

Terdahulu, penyusutan itu disebabkan sewa bersih yang lebih rendah daripada segmen Australia disebabkan peningkatan yuran profesional yang lebih tinggi.

 

Pendapatan seunit bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) susut kepada 2.18 sen daripada 2.39 sen, Al-Aqar REIT.

 

MIDF REsearch berkata, pendapatan yang lebih lemah bagi 9MFY23 disebabkan peningkatan dalam perbelanjaan amanah.

 

Katanya, jumlah perbelanjaan amanah adalah lebih tinggi (56.6%), diterajui oleh peningkatan dalam kos pembiayaan, yuran pengurus dan yuran profesional yang lebih tinggi.

 

"Yuran pengurus yang lebih tinggi adalah disebabkan oleh semakan dalam yuran pengurusan manakala yuran profesional yang lebih tinggi adalah disebabkan oleh pelaksanaan pembaharuan," katanya.

 

Firma penyelidikan mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM1.25 berbanding RM1.28 sesaham.- DagangNews.com