MIDF Research semak turun unjuran pendapatan Sarawak Plantation sebanyak 19.1% bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research semak turun unjuran pendapatan Sarawak Plantation sebanyak 19.1% bagi FY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Nov - MIDF Research menyemak turun unjuran pendapatan Sarawak Plantation Berhad bagi FY23 sebanyak 19.1% selepas mengambil kira peningkatan kos operasi ladang dan kilang pada suku keempat tahun ini.

 

Katanya, keadaan itu dijangka mendorong keuntungan bersih kumpulan lebih rendah iaitu RM61.4 juta bagi sepanjang tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kos pengurusan ladang dijangka lebih stabil pada masa hadapan didorong hakisan margin keuntungan yang semakin berkurangan disebabkan harga baja yang lebih rendah pada FY24 dan FY25. 

 

"Berdasarkan kepada keadaan itu, kami melaraskan keuntungan untuk FY24 dan FY25 lebih tinggi sebanyak 4.8% serta 56.5%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, selepas mengecualikan perubahan dalam nilai saksama aset biologi, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras susut kepada RM47 juta (-45.7%), yang seiring dengan keuntungan operasi yang lebih rendah sebanyak RM64.6 juta (-44.6%) yang direkodkan.

 

Walaupun ia berada di bawah ramalan firma itu namun ia berada dalam ramalan konsensus, masing-masing menyumbang 62% dan 76% daripada anggaran tahun penuh.

 

MIDF Research berkata, disebabkan program penanaman semula dan keadaan cuaca yang tidak menggalakkan, kawasan yang boleh dituai serta pengeluaran buah tandan segar (BTS) susut sebanyak 1% dan 3% menjadikan hasil BTS mendatar.

 

Namun begitu, pembelian luaran kekal stabil pada hampir 120,000 Mt yang menyebabkan BTS yang diproses melonjak 15%, akibatnya tahap OER kekal baik pada 19.93%.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM2.20 sesaham. - DagangNews.com