MIDF Research semak turun unjuran pendapatan TSH bagi FY23/FY24 sebanyak 9% dan 8% | DagangNews Skip to main content

MIDF Research semak turun unjuran pendapatan TSH bagi FY23/FY24 sebanyak 9% dan 8%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - MIDF Research menyemak turun unjuran pendapatan TSH Resources Berhad bagi FY23/FY24 sebanyak 9%/28% akibat kos pengeluaran yang tinggi selain penghasilan buah tandan segar (BTS) yang lemah. 

 

Firma itu berkata, untung segmen perladangan kumpulan menyusut kepada RM50.5 juta pada suku pertama FY23 dengan purata harga jualan yang lemah bagi minyak sawit mentah (MSM) RM3,555 bagi setiap tan.

 

Katanya, harga itu gagal mengimbangi pengeluaran BTS sebanyak 199,334mt hasil gabungan normalisasi harga MSM dan Cukai Eksport Indonesia yang tinggi dan duti ke atas MSM.

 

"Bagi 1QFY23, segmen lain terus mencatat kerugian bersih sebanyak RM3.3 juta. 

 

"Ini disebabkan hasil yang rendah akibat permintaan yang rendah untuk produk kayu dan penutupan loji janakuasa biojisim untuk penyelenggaraan," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM29.4 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac berbanding RM96.5 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Hasil berjumlah RM250.3 juta pada suku itu berbanding RM337.3 juta tahun lepas manakala pendapatan sesaham pada 2.13 sen berbanding 6.99 sen tahun lepas.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu sedang menyaksikan pemampatan margin hasil daripada harga purata MSM yang sederhana sebanyak RM4,100/Mt digabungkan dengan persekitaran kos baja yang tinggi.

 

Selain itu mereka beroperasi dengan levi eksport Indonesia dan duti MSM yang tinggi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.01 sesaham," katanya. - DagangNews.com