KUALA LUMPUR 8 Dis – MIDF Research menyemak turun penarafan Muhibbah Engineering Bhd. kepada 'neutral' daripada 'beli' sebelum ini susulan kenaikan harga sahamnya baru-baru ini.
Menurut firma itu, margin yang lebih lemah telah memberi kesan kepada kumpulan sejak suku kebelakangan ini, sama seperti kebanyakan pemain pembinaan lain.
Katanya, ini disebabkan peningkatan kos berkaitan bahan binaan dan buruh asing, tetapi ia akan bertambah baik secara beransur-ansur pada suku akan datang.
"Kami percaya tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) akan menjadi tempoh terbaik kepada Muhibbah untuk memperoleh kenaikan aliran kerja terutamanya dalam ruang minyak dan gas (O&G)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagaimanapun, firma itu mengekalkan harga sasaran Muhibbah pada 47 sen sesaham kerana ia menambat unjuran nisbah harga pendapatan (PER) ke hadapan sebanyak 7x kepada pendapatan sesaham (EPS) FY23 sebanyak 6.76 sen.
Semalam, kumpulan mengumumkan menerima anugerah projek bernilai RM322 juta daripada Petronas Carigali Sdn. Bhd. berkaitan Projek Gansar, 190 kilometer di luar pesisir Terengganu.
Skop kerja adalah untuk penyediaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan serta pemasangan (EPCC+1) Struktur Berat Ringan (LWS), pengubahsuaian brownfield Duyong dan perkhidmatan hostie-in.
Kerja-kerja tersebut akan bermula secepat mungkin dan dijangka selesai dalam tempoh 22 bulan atau pada Oktober 2024.
Muhibbah adalah rakan kongsi utama untuk konsortium yang meraih projek tersebut walaupun tiada butiran konsortium itu didedahkan.
MIDF Research menganggarkan pegangan Muhibbah dalam konsortium itu ialah 60%, justeru menambah RM193.2 juta kepada nilai kontrak kumpulan.
Pada margin keuntungan yang munasabah kira-kira 5%, ia akan menyumbang kira-kira RM9.7 juta kepada kumpulan sepanjang tempoh tersebut.
"Perolehan terbaharu ini akan meningkatkan nilai kontrak tertunggak semasa kumpulan kepada RM1.29 bilion, yang akan memberi pendapatan sehingga FY24.
"Kami percaya masih banyak ruang untuk mendapatkan kontrak baharu kerana nilai kontrak tertunggak kumpulan masih belum kembali ke tahap sebelum pandemik, yang kebiasaannya sekitar RM1.5 hingga RM2 bilion," jelasnya.
Setakat 9.03 pagi ini, harga sahamnya menokok 3 sen atau 6.59% kepada 48.5 sen dengan 917,500 saham diniagakan. - DagangNews.com