MIDF Research turunkan unjuran pendapatan 2022 MMHE sebanyak 38.5% | DagangNews Skip to main content

MIDF Research turunkan unjuran pendapatan 2022 MMHE sebanyak 38.5%

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Nov -  MIDF Research menurunkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2022 Malaysia Marine & Heavy Engineering (MMHE) sebanyak 38.5% susulan prestasi buruk yang dicatatkan kumpulan itu.

 

Dalam nota penyelidikannya MIDF berkata, berdasarkan prestasi kewangan MMHE untuk suku ketiga tahun ini, pihaknya turut menurunkan anggaran pendapatan tahun 2021 MMHE yang mencerminkan kerugian tahun ini.

 

Bagaimanapun MIDF masih mengekalkan panggilan 'Beli' ke atas saham MMHE dengan unjuran yang lebih berhati-hati.

 

"Walaupun gangguan rantaian bekalan dan sekatan sempadan berikutan wabak COVID-19 terus menghalang prospek MMHE dalam tempoh terdekat, kami berpendapat bahawa projek berterusan MMHE dan usaha niaga masa depan, sebagai tambahan kepada kenaikan harga minyak dan gas semasa akan meningkatkan prestasi kewangannya dalam masa terdekat.

 

"Sehingga sekatan sempadan dilonggarkan seiring dengan pelancaran vaksinasi yang lengkap, kami percaya MMHE akan terus mengekalkan kunci kira-kira dan aliran tunai yang teguh, tunggakan buku pesanan yang kukuh untuk projek semasa dan akan datang, dan strategi kepelbagaian yang mampan dan inisiatif untuk mengekalkan daya tahan kewangan. 

 

"Harga sasaran kami kekal tidak berubah pada RM0.49 sesaham," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

MMHE melaporkan kerugian bersih sebanyak RM23.9 juta pada suku ketiga 2021. 

 

Pada asas suku ke suku, keputusan meningkat sedikit daripada defisit RM34.4 juta pada suku sebelumnya. 

 

Dalam tempoh 9 bulan untuk tahun kewangan21, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih terkumpul sebanyak RM162.6 juta daripada RM388.2 juta tempoh yang sama tahun lepas. 

 

Pada tahap keuntungan operasi, MMHE merekodkan kerugian operasi sebanyak RM20.2 juta berpunca daripada sumbangan yang lebih rendah daripada projeknya. -DagangNews.Com