MIDF Research unjur inflasi makanan kekal antara 5.5% hingga 6% pada separuh kedua 2023 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur inflasi makanan kekal antara 5.5% hingga 6% pada separuh kedua 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Ogos - MIDF Research mengunjurkan inflasi makanan kekal antara 5.5% hingga 6% pada separuh kedua tahun ini didorong persekitaran luaran yang mencabar terutama untuk pengeluaran pertanian global.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi tempoh tujuh bulan 2023, purata inflasi makanan adalah pada paras 6%, jauh lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya pada kadar 5.7%.

 

"Selain itu, susut nilai ringgit juga antara lain membawa kepada inflasi import yang lebih tinggi terutamanya melalui harga makanan kerana Malaysia merupakan pengimport bersih bagi kebanyakan produk makanan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, inflasi makanan dan minuman bukan alkohol bagi semua negeri mencatatkan peningkatan. 

 

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Putrajaya (6.0%), diikuti oleh Selangor (5.6%), Sarawak (5.5%), Pahang (4.8%), Perak (4.5%) dan Melaka (4.4%). 

BACA JUGA: Inflasi Malaysia mereda kepada 2% pada Julai 2023, terendah tahun ini - DOSM
https://www.dagangnews.com/article/inflasi-malaysia-mereda-kepada-2-pada-julai-2023-terendah-tahun-ini-dosm-29735

Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan dan  minuman bukan alkohol nasional iaitu 4.4% pada Julai 2023.

Firma penyelidikan itu berkata, inflasi bukan makanan dijangka pada purata 1.5% (7MCY23: +1.6%).

"Dengan mengambil kira kedua-dua komponen indeks harga pengguna (CPI), kami menjangkakan kadar inflasi utama Malaysia akan menjadi purata pada 3% untuk 2023," katanya.

 - DagangNews.com