MIDF Research unjur inflasi naik kepada 3.5% pada 2024 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur inflasi naik kepada 3.5% pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Nov - MIDF Research mengunjurkan inflasi negara meningkat kepada 3.5% pada 2024 selepas menyederhana kepada anggaran 3% pada tahun ini.

 

Katanya, unjuran itu dibuat selepas mengambil kira perubahan dasar yang dibuat kerajaan seperti pelaksanaan subsidi bersasar, penghapusan subsidi ayam dan kawalan harga bermula 1 November 2023. 

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu bimbang terhadap inflasi makanan seperti yang ditunjukkan dalam peningkatan kos berterusan dalam perkhidmatan F&B, yang merupakan penyumbang utama kepada kenaikan berturut-turut dalam indeks harga pengeluar (PPI) perkhidmatan keseluruhan daripada suku sebelumnya.

 

"Walaupun tekanan kos berkurangan dan menyebabkan inflasi menyederhana tetapi kami menjangkakan peningkatan semula dalam tekanan kos boleh membawa kepada kenaikan  semula inflasi harga pengguna dalam beberapa bulan akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memberitahu bahawa semua subsektor merekodkan peningkatan pada suku ini kecuali indeks maklumat dan komunikasi yang kekal tidak berubah.  

 

BACA JUGA: Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan meningkat 1.4% pada suku ketiga 2023 - DOSM

 

Penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman meningkat 4.6% berbanding 6.3% pada suku kedua 2023 disebabkan peningkatan dalam restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak (5.2%). 

 

Pengangkutan merekodkan peningkatan marginal 0.7% berbanding 4.8% pada suku kedua 2023 disebabkan oleh pengangkutan udara (1.5%). 

 

Pada masa yang sama, subsektor lain yang merekodkan kenaikan adalah pendidikan (1%), kesenian, hiburan dan rekreasi (0.8%) dan profesional (0.4%).

 

Firma penyelidikan itu berkata, berbanding suku sebelumnya, inflasi pengeluar perkhidmatan meningkat sebanyak 0.4% dari suku tahun ke suku tahun menggambarkan peningkatan kos yang lebih pantas dalam penginapan dan perkhidmatan F&B serta seni, hiburan dan rekreasi.

 

Katanya, secara keseluruhan inflasi yang lebih perlahan IHPR perkhidmatan dan bersama-sama dengan penurunan berterusan dalam IHPR bagi industri pengeluaran barangan menunjukkan tekanan kos yang berkurangan yang membawa kepada penyederhanaan berterusan dalam inflasi. - DagangNews.com