MIDF Research unjur IPI Malaysia berkembang perlahan pada kadar 1.6% tahun ini | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur IPI Malaysia berkembang perlahan pada kadar 1.6% tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - MIDF Research mengunjurkan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) berkembang lebih perlahan iaitu pada kadar 1.6% pada tahun ini berbanding 6.7% pada tahun lalu.

 

Katanya, ia disebabkan permintaan luar yang lebih lemah berbanding sebelum ini.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun tetap bimbang dengan kesan permintaan akhir daripada pasaran utama.

 

"Walaupun pertumbuhan purata IPI adalah pada kadar 1.1% bagi lapan bulan pertama tahun ini berbanding 7.3% pada tahun lalu, kami menjangkakan ekonomi China akan kembali pulih.

 

"Selain itu akan berlaku peningkatan dalam jualan semikonduktor global yang antara lain menyokong pengeluaran serantau selain meningkatkan prospek perdagangan dalam suku terakhir tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia susut 0.3% pada Ogos 2023 - DOSM

 

Terdahulu, IPI kembali menyusut pada Ogos 2023 iaitu menurun 0.3% tahun ke tahun berbanding positif 0.7% yang direkodkan pada bulan sebelumnya. 

 

Kejatuhan pada Ogos 2023 adalah disebabkan penyusutan dalam sektor pembuatan dengan negatif 0.6% berbanding negatif 0.2% yang dicatatkan pada Julai 2023.

 

Sementara itu, dengan pertumbuhan IPI stabil sekitar 0.2% antara Julai hingga Ogos 2023 (berbanding penurunan 0.2%yoy pada suku kedua tahun ini).

 

"Kami percaya peningkatan berterusan dalam perbelanjaan domestik dan aktiviti perniagaan akan terus menyokong prestasi IPI jangka pendek," katanya. - DagangNews.com