MIDF Research unjur jualan Perodua meningkat kepada 248,000 unit pada 2022 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur jualan Perodua meningkat kepada 248,000 unit pada 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mac - MIDF Research mengunjurkan jualan Perodua bagi tahun 2022 meningkat sebanyak 30% atau 248,000 unit kenderaan pada 2022 didorong pengenalan model baharu bagi menggantikan Alza.

 

Selain sasaran itu, pemulihan segmen pembuatan juga membolehkan mereka memenuhi tempahan yang tertunggak selama tiga ke empat bulan.

 

"Model Alza yang menyumbang sebanyak 8% kepada jumlah keseluruhan industri (TIV) Perodua pada 2021 iaitu sebanyak 1,200 unit sebulan.

 

"Bagaimanapun model itu akan digantikan dengan model baharu pada pertengahan tahun dan jumlah jualan dijangka meningkat kepada 3,000 hingg 4,000 sebulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, MBM Resources Berhad mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 38% atau RM110 juta pada 4QFY21 didorong sumbangan yang lebih tinggi daripada syarikat bersekutu selain margin keuntungan yang tinggi daripada unit pengedarnya. 

 

Peningkatan pendapatan syarikat bersekutu sebanyak 49% pada 4QFY2021 adalah dirangsang oleh pengiktirafan elaun cukai pelaburan berjumlah RM22.5 juta pada November 2021 dan berkait dengan pelaburan Perodua dalam unit pembuatan.

 

perodua
Pengeluaran Alza akan dihentikan dan akan digantikan dengan model baharu pada pertengahan tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bahagian pembuatan alat ganti mengalami gangguan pengeluaran sementara pada FY2021 akibat kenaikan harga bahan mentah yang menyebabkan berlakunya penurunan pendapatan sebanyak 18%.

 

Bagaimanapun, bagi FY22, bahagian pembuataan dijangka mencatatkan peningkatan jumlah pengeluaran diorong oleh pemulihan industri sepenuhnya.

 

"Difahamkan MBM sedang aktif menjalan perbincangan untuk mengembangkan bahagian pembuatan produk berkaitan sistem pemanduan autonomi, bagaimanapun tiada maklumat lanjut mengenainya," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saran 'beli' terhadap saham MBM pada harga sasaran tidak berubah RM4.05 selepas mengambil kira Perodua sebagai proksi utama yang menguasai 40% pasaran automotif.

 

"Selain daripada itu, kami bimbang sekiranya kerajaan memperkenalkan semula Perintah Kewalan Pergerakan (PKP), permintaan yang kurang dalam pasaran, kadar faedah yang tinggi berbanding jangkaan dan kekurangan cip yang menggangu rantaian pembuatan automotif," katanya. - DagangNews.com