MIDF Research unjur perjalanan udara pulih kepada 85% pada tahun ini | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur perjalanan udara pulih kepada 85% pada tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Julai - MIDF Research menjangkakan perjalanan udara pulih kepada 85% pada tahun ini (domestik: 90%, antarabangsa:80%).

 

Firma itu berkata, jumlah penumpang pada separuh pertama 2023 mencapai 43% unjuran penuh tahun ini dengan domestik sebanyak 46% dan antarabangsa 41%.

 

Katanya, pemulihan 45 syarikat penerbangan dan pengenalan dua syarikat penerbangan baharu dalam tempoh tersebut menyumbang dengan ketara kepada jumlah pemulihan kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan itu, mencapai 75% pada 50.5 juta.

 

"Sepanjang separuh pertama tahun ini, syarikat penerbangan secara konsisten mencapai faktor muatan purata yang lebih tinggi setiap bulan (kecuali Ramadhan), dengan purata faktor muatan dalam separuh pertama 2023 mencapai 76.1%, melepasi tahap separuh pertama 2019 sebanyak 1.2%.

 

"Kami percaya sektor bukan ASEAN masih menunjukkan prospek pertumbuhan yang ketara dalam separuh kedua tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, lebih banyak laluan sedang dipulihkan dan kekerapan penerbangan meningkat secara beransur-ansur kerana masalah kekurangan pekerja di lapangan terbang sedang ditangani.

 

Katanya, pemulihan penuh masih belum dapat dilihat kerana jurang dalam kapasiti tempat duduk, berpunca daripada ketersediaan pesawat yang lebih rendah berbanding tahap yang dilihat dalam 2019.

 

"Syarikat penerbangan tempatan utama tidak mempunyai sebarang rancangan segera untuk membina semula armada mereka secara agresif," katanya.

 

Firma itu mengekalkan penarafan neutral terhadap sektor penerbangan dengan jangkaan syarikat penerbangan tempatan akan meningkatkan kapasiti penerbangan mereka selain kehadiran semula pelancong China lebih pantas daripada jangkaan. - DagangNews.com