MIDF Research unjur purata kadar pengangguran berada pada paras 3.5% tahun ini | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur purata kadar pengangguran berada pada paras 3.5% tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Ogos - MIDF Research mengunjurkan purata kadar pengangguran berada pada paras 3.5% tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pasaran buruh di Malaysia dijangka terus kukuh pada 2023 dan 2024, disokong oleh dorongan positif dalam ekonomi domestik.

 

Kadar pengangguran purata Malaysia dijangka menurun lagi kepada 3.5% pada hujung tahun ini dan kembali ke tahap pra pandemik sebanyak 3.3% pada 2024.

 

"Kehadiran semula pekerja bukan warganegara dijangka meningkatkan pekerjaan keseluruhan dan mengurangkan kadar pengangguran.

 

"Pada suku pertama tahun ini, individu bukan warganegara adalah 4.4% lebih rendah berbanding tahap pra pandemik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Kadar pengangguran menurun 3.4% kepada 581,700 orang pada Jun 2023 - DOSM

 

Bilangan penduduk bekerja pada Jun 2023 kekal pada trend positif, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2% merekodkan 16.31 juta orang berbanding 16.28 juta orang pada Mei 2023.

 

Bilangan penganggur pada bulan tersebut terus menurun, dengan pengurangan sebanyak 0.5% kepada 581,700 orang berbanding 584,600 orang pada Mei 2023.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sehingga separuh pertama tahun ini, jumlah guna tenaga meningkat 2.7% (2022: +3.5%yoy) manakala pengangguran berkurangan sebanyak 10.4% (2022: -14.8%yoy) dan kadar pengangguran purata pada 3.5% (2022: 3.8%).

 

Penambahbaikan berterusan dalam pasaran buruh akan menyokong perbelanjaan pengguna kerana nisbah penerima gaji kepada pekerjaan telah mencapai puncak baharu sebanyak 64.5% kembali pada 2021. - DagangNews.com