MIDF semak turun saranan kepada 'neutral' terhadap Leong Hup International | DagangNews Skip to main content

MIDF semak turun saranan kepada 'neutral' terhadap Leong Hup International

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Feb - MIDF Research menyemak turun saranan terhadap saham-saham Leong Hup International Berhad kepada 'neutral' dengan harga sasaran 59 sen berbanding 74 sen sebelum ini selepas pendapatan kumpulan berada di bawah jangkaan.

 

Firma penyelidikan itu juga menurunkan sasaran pendapatan kumpulan sebanyak 13.1% kepada 18.5% bagi FY22/23.

 

"Bagaimanapun kami berkeyakinan dengan Leong Hup berdasarkan kepada beberapa perkara termasuk skala ekonominya, integrasi perniagaannya dan kepelbagaian geografinya," katanya dalam satu nota kajian hari ini. 

 

Terdahulu, keuntungan bersih Leong Hup International menyusut sebanyak 27.7% kepada RM37.99 juta pada 4Q21 berbanding RM52.55 juta pada tahun lalu. 

 

Penurunan itu adalah disebabkan peningkatan kos bahan makanan yang menjejaskan segmen ternakan dan produk berkaitan ternakan kumpulan itu, walaupun terdapat peningkatan dalam harga jualan purata (ASP).

 

Pendapatan kumpulan bagaimanapun meningkat sebanyak 12.8% kepada RM1.81 bilion daripada RM1.61 bilion untuk tempoh sama tahun lalu, berikutan pertumbuhan hasil yang stabil dalam kedua-dua segmen produk berkaitan ternakan dan segmen kilang makanan yang masing-masing meningkat sebanyak 17.9% dan 6.5% .

 

Prestasi baik segmen ternakan dan produk berkaitan adalah disumbang daripada Malaysia terutama terhadap permintaan telur, anak ayam dan ayam pedaging. 

 

Sementara itu, Vietnam dan Filipina kedua-duanya mencatatkan jumlah jualan yang lebih tinggi dan ASP ayam pedaging. - DagangNews.com