Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Jan. - Unjuran inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) disemak turun kepada 1.8% tahun ke tahun berbanding unjuran awal iaitu 2.2%.
MIDF Research berkata, perubahan itu dibuat melihatkan kepada perkembangan PKP dan lonjakan kes COVID-19 yang mengurangkan aktiviti luar rakyat sekali gus memberi kesan kepada prestasi penggunaan.
"Kami menyemak turun unjuran inflasi IHP 2021 kepada 1.8% tahun ke tahun daripada unjuran awal iaitu 2.2%.
"Bagaimanapun, secara umumnya, harga bagi sebahagian besar barangan akan meningkat berbanding penurunan tahun lalu iaitu -1.2% tahun ke tahun.
"Peningkatan itu didorong oleh permintaan yang semakin tinggi dalam pemulihan ekonomi disebabkan oleh kadar faedah yang rendah dan sentimen pengedaran vaksin," jelas MIDF Research.
Dalam laporan IHP dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, IHP menurun 1.4% pada Disember 2020 kepada 120.6 berbanding 122.3 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Penurunan IHP keseluruhan itu disebabkan oleh penurunan indeks Pengangkutan (-8.4%); Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (-3.3%); Pakaian & Kasut (-0.4%); Restoran & Hotel (-0.2%) dan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (-0.1%) yang menyumbang 48.6% daripada keseluruhan wajaran.
Baca: Indeks harga pengguna Disember 2020 susut 1.4%
Dalam laporan sama, DOSM turut menyatakan IHP bagi tahun 2020 yang mencatatkan penurunan 1.2% berbanding tahun sebelumnya.
Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -0.9% hingga -2.2% bagi Disember 2020 berbanding Disember 2019.
Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Kedah dan Perlis iaitu -2.2% yang diikuti oleh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (-2.0%), Johor (-2.0%), Melaka (-2.0%), Sarawak (-1.9%) dan Negeri Sembilan (-1.9%).
Namun begitu, kebanyakan negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol.
Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Pahang iaitu 2.3%, diikuti oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.2%), Perak (2.0%), Terengganu (2.0%) dan Negeri Sembilan (1.7%).
Mengulas berkaitan IHP negara yang menurun sebanyak 1.2% pada 2020 itu, MIDF Research berkata, kejatuhan itu adalah satu rekod yang tidak pernah dilihat dalam tempoh beberapa dekad.
Jelasnya, kali terakhir Malaysia mengalami deflasi pada IHP adalah pada 1965 iaitu dengan penurunan sebanyak -0.1% tahun ke tahun.
Dalam pada itu, MIDF Research turut menjangkakan peningkatan harga minyak mentah global yang lebih tinggi pada pada 2021.
Jelas MIDF Research, minyak mentah global dijangka diniagakan pada harga AS$51 setong untuk Brent.
Sementara itu, CGS-CIMB Research dalam nota kajian berkaitan IHP berkata, pihaknya menjangkakan inflasi 2021 meningkat kepada 1.6% tahun ke tahun berbanding penurunan 1.2% pada 2020.
Jelas CGS-CIMB Research, jangkaan kenaikan itu didorong oleh kenaikan harga barangan komoditi negara.
CGS-CIMB Research juga membuat unjuran penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25bp (mata asas) kepada 1.50% pada separuh pertama 2021. - DagangNews.com