MIER bantah pengeluaran KWSP, kerajaan sebaliknya perlu perkukuh jaringan keselamatan sosial | DagangNews Skip to main content

MIER bantah pengeluaran KWSP, kerajaan sebaliknya perlu perkukuh jaringan keselamatan sosial

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Jan - Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memperluaskan strategi perlindungan dan jaringan keselamatan sosial ketika berdepan dengan krisis, dan bukannya tunduk kepada desakan pencarum untuk mengeluarkan dana daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

 

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) membantah gesaan yang dibuat oleh pihak tertentu untuk membenarkan pengeluaran dana tambahan daripada akaun persaraan mereka yang mana ia akan menyebabkan 
kesejahteraan ahli KWSP selepas bersara akan terancam.

 

Katanya, 3 program pengeluaran KWSP sebelum ini sehingga berjumlah RM101 bilion adalah langkah jangka pendek, yang mana sepatutnya dielakkan dan tidak harus berulang lagi.

 

Bagaimanapun, MIER menyedari beban yang ditanggung oleh golongan yang kurang bersedia untuk berdepan bencana dan mereka memerlukan sokongan kerajaan untuk membina semula kehidupan. 

 

"Sebaliknya, untuk menangani kekangan fiskal jangka pendek yang dihadapi rakyat Malaysia, terdapat justifikasi ekonomi yang kukuh bagi kerajaan dalam menyediakan bantuan tunai tanpa syarat yang mencukupi kepada isi rumah dan syarikat.

 

"Dalam hal ini, dana bantuan bencana juga perlu dipertimbangkan. Pada masa sama, perlindungan sosial yang mencukupi khususnya kepada mereka yang bekerja sendiri dan berada dalam sektor tidak formal, harus diperkukuh," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Pengeluaran secara besar-besaran itu menyebabkan 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan KWSP dengan 3.6 juta mempunyai kurang daripada RM1,000. 

 

Tahap ini sudah pasti jauh daripada paras ambang RM240,000 simpanan menjelang umur 55 tahun untuk ahli menikmati persaraan yang bermaruah.

 

MIER berkata demikian sebagai respons kepada pihak tertentu yang menggesa kerajaan untuk membenarkan pengeluaran i-Citra sekali sahaja sebanyak RM10,000 untuk pencarum yang terjejas akibat banjir di negara ini.

 

Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, 3 program pengeluaran khas i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra sebelum ini hanya langkah jangka pendek serta bersifat sementara akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

 

Malah, beliau berkata, semua pihak termasuk mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dan bencana alam seperti banjir tidak boleh melihat simpanan di KWSP sebagai satu-satunya penyelesaian kepada setiap cabaran.

 

Sehubungan itu, MIER menjelaskan bahawa KWSP bukan dilaksanakan untuk menangani musibah atau pandemik, sebaliknya bagi memastikan pencarum menikmati kehidupan selesa selepas bersara.

 

Dalam hal ini, ia berpendapat pengeluaran tersebut haruslah bersandarkan kepada alasan ekonomi yang kukuh  dan bukan dasar populis.

 

"Ini ditambah pula dengan hakikat bahawa Malaysia semakin pantas menjadi masyarakat yang semakin tua.

 

"Malaysia kini hanya kurang 9 tahun untuk menjadi negara yang berusia pada 2030, dan pengeluaran KWSP selanjutnya akan memberi tekanan tambahan kepada kos penjagaan kesihatan pada masa depan, jaminan pendapatan dan aliran pendapatan selepas persaraan," jelasnya.

 

Mengulas lebih lanjut, MIER mencadangkan langkah jangka panjang untuk memastikan ahli mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan.

 

Salah satu cadangan tersebut adalah untuk melaraskan kadar caruman KWSP majikan tanpa menambah beban kos buruh majikan.

 

"Kerajaan boleh meningkatkan sedikit kadar caruman majikan untuk pekerja melebihi had ambang tertentu dan pada masa sama menurunkan kadar bagi mereka yang berada di bawah paras ambang.

 

"Sebagai contoh, majikan yang berpendapatan bulanan RM20,000 atau lebih boleh diturunkan sebanyak 1% dan kadar caruman majikan yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM5,000 boleh dinaikkan sebanyak 1%. 
"Langkah ini tidak akan membebankan majikan, malah akan membantu menangani persoalan mengenai kesaksamaan," jelasnya. - DagangNews.com