KUALA LUMPUR 25 Jan - Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan ekonomi Malaysia kekal tidak menentu dan mungkin mencatat prestasi kurang memberangsangkan terutama pada suku pertama 2022.
Dalam laporan suku keempat 2021 yang dikeluarkan hari ini, MIER berkata, bagaimanapun, bagi tahun berikutnya, negara akan mencatat trajektori pertumbuhan yang kukuh sekitar 5.8% manakala antara 5.5 hingga 6% pada 2023.
Katanya, antara faktor utama yang mendorong kepada pemulihan pantas ekonomi termasuklah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan dengan baik, bantuan dan sokongan fiskal yang mencukupi.
"Selain itu, pembukaan semula ekonomi secara berfasa di bawah Pelan Pemulihan Negara dan kepatuhan rakyat Malaysia terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 turut menyumbang kepada pemulihan ekonomi," katanya dalam laporan berkenaan.
Namun, menurutnya, walaupun optimis terhadap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar pada 3.7% yang dianggarkan pada 2021, tetapi, pertumbuhan ekonomi masih di bawah potensi output hampir 5.5% setiap tahun.
Memandangkan inflasi harga pengguna meningkat semula, tambahnya, sesetengah pihak berpendapat bahawa stagflasi boleh berlaku.
"Pada pandangan kami, ini tidak mungkin berlaku kerana ia boleh dielakkan dengan mudah dalam konteks Malaysia menerusi penggunaan dasar yang dilaksanakan dengan baik," jelasnya.
Pada masa sama, MIER berkata, kedudukan fiskal memerlukan pertimbangan yang berhati-hati.
Secara khusus, katanya, baki keseluruhan bajet dalam kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan yang mencatat defisit sejak Krisis Kewangan Asia pada 1998 tidak boleh diabaikan.
Ini kerana, jelasnya, hutang terkumpul Kerajaan Persekutuan (termasuk hutang luaran) sudah melebihi 64% daripada KDNK nominal setakat akhir September 2021 (RM969.3 bilion).
"Ruang fiskal pesekutuan boleh dikekang lagi, dengan mengambil kira komitmen luar bajet, seperti liabiliti luar jangka yang direalisasikan dengan jaminan kerajaan berkaitan Kerjasama Awam-Swasta (PPP) dan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang merupakan dasar penswastaan kerajaan yang sudah lama wujud dan pelaburan dalam industri strategik," katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, terdapat trend yang bertentangan dalam petunjuk ekonomi utama.
Ia mendapati, pada ketika eksport komoditi utama seperti minyak mentah dan minyak sawit melonjak lebih tinggi, kadar tukaran ringgit seperti yang diukur oleh kadar tukaran efektif nominal (NEER) kekal lemah.
"Secara jelasnya, kita mengalami kejutan komoditi-mata wang. Malah, terdapat kelemahan dalam asas makroekonomi, termasuklah kos sara hidup yang meningkat, hutang sektor awam dan isi rumah yang tinggi.
"Kesemua ini dijangka wujud sekurang-kurangnya sehingga tahun ini," tambahnya.
MIER turut memberi amaran berlakunya penurunan penarafan bagi hutang berdaulat Malaysia dengan penarafan Fitch Ratings pada masa ini ialah BBB+.
"Pembayaran kupon dan terbitan bon yang dijangka matang menjelang akhir tahun ini sudah pasti akan menguji tekanan fiskal risiko kedaulatan Malaysia," tegasnya.
Ia juga berpandangan, meskipun kerajaan memberi penekanan terhadap pemulihan ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Negara 2.0, pengurusan kewangan awam yang berhemat memerlukan imbangan utama menjadi positif atau berada dalam lebihan, pada masa akan datang.
Namun, sasaran ini sukar dicapai di bawah Bajet 2022 dengan hutang utama berada pada 3.3% daripada KDNK, justeru, ia memerlukan kawalan yang lebih besar terhadap hutang awam.
Walaupun ia menjangkakan ekonomi akan mencatat pertumbuhan kukuh pada 5.8% tahun ini, tetapi ekonomi Malaysia yang diukur berdasarkan jumlah output perkhidmatan dan barangan dalam harga tetap, dijangka hanya tinggi sedikit daripada paras sebelum pandemik pada 2019.
Katanya, ini menunjukkan negara perlu pulih daripada penguncupan mendadak pada 2020.
"Paling penting, kita mengambil masa 2 tahun untuk pulih dan mencapai pertumbuhan yang mampan," katanya.
Pada masa sama, tambahnya, negara juga perlu pantas menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu pasca COVID-19 dengan melaksanakan pembentukan program dan struktur secara bersungguh-sungguh selaras dengan pertumbuhan strategik dan inisiatif untuk mencapai negara berpendapatan tinggi dan status negara berorientasikan rakyat menjelang 2030, atau lebih cepat daripada itu. - DagangNews.com