MIHAS 2021 jana RM2.13 bilion jualan eksport | DagangNews Skip to main content

MIHAS 2021 jana RM2.13 bilion jualan eksport

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

KUALA LUMPUR 31 Jan - Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2021) menjana sejumlah RM2.13 bilion dalam jualan eksport, terdiri daripada RM1.38 bilion jualan yang direkodkan oleh pempamer dan RM749.1 juta daripada syarikat Malaysia yang menyertai Program Penyumberan Antarabangsa (INSP). 

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Mohd Mustafa Abdul Aziz, pempamer Malaysia menyumbang RM562 juta dalam jumlah jualan manakala pempamer asing juga melaporkan jualan yang menggalakkan.

 

Katanya, ia sekali gus menyerlahkan lagi keteguhan MIHAS sebagai saluran global kepada ekonomi Halal yang sentiasa berkembang. 

 

"Bagi pempamer asing, Indonesia mendahului dengan jualan tertinggi berjumlah RM403.4 juta, diikuti Filipina (RM199.3 juta), Vietnam (RM103.8 juta), Pakistan (RM36.0 juta) dan Brazil (RM13.2 juta). 

 

"Perkhidmatan Kewangan Islam (RM380.9 juta, 27.6%) merekodkan jumlah jualan tertinggi dalam kalangan 12 kluster utama yang menjadi tumpuan MIHAS 2021, diikuti Minuman (RM329.6 juta, 23.9%s), Makanan Diproses (RM150.6 juta , 10.9%), Farmaseutikal, Peralatan Mandi & Kosmetik (RM138.0 juta, 10%), dan Hasil Pertanian (RM106.7 juta, 7.7%)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

MIHAS 2021 telah berjaya dijalankan dalam format maya sepenuhnya dari 9 September hingga 31 Disember 2021, membuktikan bahawa acara ikonik MATRADE merupakan platform terkemuka dalam komuniti halal dunia.

 

Tambah Mohd Mustafa, tahun 2021 menyaksikan transformasi digital berkesan MATRADE di mana edisi MIHAS ke-17 menampilkan penyertaan maya daripada 549 peserta pameran yang terdiri daripada 246 peserta pameran tempatan dan 303 peserta pameran asing dari 42 negara termasuk peserta baharu dari negara seperti Mexico, Guatemala, Trinidad & Tobago dan Colombia. 

 

Katanya, lima negara pameran asing teratas ialah Indonesia (45 peserta pameran), China (23 peserta pameran), Filipina (20 peserta pameran), Korea Selatan (18 peserta pameran) dan Thailand (16 peserta pameran). 

 

Selain menarik 16,152 pelawat dan delegasi perdagangan, MIHAS 2021 mewujudkan peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengukuhkan keupayaan eksport mereka.

 

“Kami menggalakkan syarikat Malaysia memanfaatkan 286 program pembangunan pengeksport dan promosi eksport MATRADE yang dirancang pada 2022," katanya.-DagangNews.com