MIHAS 2023 catat jualan RM3.11 billion, meningkat 24% | DagangNews Skip to main content

MIHAS 2023 catat jualan RM3.11 billion, meningkat 24%

Peningkatan jualan ini sekali gus membuktikan kepentingan MIHAS sebagai platform perdagangan global utama untuk industri halal. - Gambar Facebook MIHAS Malaysia
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH 

KUALA LUMPUR 19 Sept - Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2023) edisi ke-19 baru-baru ini berjaya mencatatkan jualan bernilai RM3.11 bilion, melebihi sasarannya sebanyak RM2.5 bilion, meningkat 24%.

 

Peningkatan jualan ini sekali gus membuktikan kepentingan MIHAS sebagai platform perdagangan global utama untuk industri halal.  

 

Mihas dihoskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade). 

 

Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Nana Merican berkata, MIHAS 2023 merupakan yang terbesar dan paling berjaya pernah diadakan setakat ini. 

 

“Pameran kali ini berjaya membantu syarikat bumiputera dan tempatan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menembusi pasaran global dengan skop yang lebih meluas," katanya. 

 

MIHAS 2023 telah melepasi sasaran jualannya sebanyak RM2.5 bilion pada hari ketiga berbanding RM2.3 bilion pada 2022. 

 

Beliau berkata demikian kepada DagangNews.com ketika ditemui di MIHAS 2023. Turut bersamanya di pameran halal terbesar dunia itu ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz. 

 

 

mihas
Datuk Seri Reezal Merican Nana Merican

 

 

MIHAS 2023 yang berlangsung selama empat hari bermula 12 hingga 15 September, 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini, dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Sejak mula dianjurkan pada 2004, MIHAS merupakan acara untuk perniagaan tempatan dan asing untuk berkembang maju dalam perdagangan halal dan menyumbang secara signifikan kepada ekonomi halal global. 

 

Reezal Merican berkata, MIHAS kali ini juga memperlihatkan lonjakan dari segi bilangan gerai pameran.

 

Katanya, gerai pameran tahun ini melebihi 1,900 berbanding cuma 1,300 tahun sebelumnya. 

 

“Jumlah ini melebihi apa yang kami sasarkan cuma 1,500 gerai pada awalnya.  

 

"Apa yang menjadi lebih unik, yang saya maksudkan dengan MIHAS kali ini ialah Program Penyumberan Antarabangsa (INSP). 

 

“INSP, merupakan program padanan perniagaan (business matching) di mana kami padankan perniagaan daripada bakal pembeli dari seluruh dunia dengan pembekal tempatan kami," kata Reezal Merican. 

 

Dalam satu kenyataan Matrade berkata, pengiraan awal menunjukkan bahawa program perdana INSP – MATRADEs – tercapai jualan bernilai RM1.22 bilion, manakala pempamer memperoleh jumlah jualan RM1.89 bilion.

 

 

MIHAS

 

 

Katanya, angka jualan awal berpotensi meningkat apabila pemadanan perniagaan INSP maya berlangsung sehingga 30 November 2023. 

 

Pameran itu meliputi 13 segmen Halal dan padanan perniagaan melibatkan syarikat semua sektor, menyebabkan akses pasaran terbuka untuk syarikat Malaysia di beberapa yang terbesar rangkaian pasar raya di dunia termasuk Walmart, Aldi, Asda, Marks & Spencer, Guardian, Sainsbury, dan Woolworth. 

 

Ia juga menyediakan akses kepada syarikat Malaysia ke pasaran global di mana Malaysia pada masa ini tidak mempunyai kehadiran yang kukuh, seperti Romania, Poland dan Maghribi. 

 

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Pelan Induk Industri Halal Malaysia 2030 menyasarkan sumbangan industri sebanyak RM266 bilion, atau 11% daripada KDNK Malaysia menjelang 2030.  

 

“Dalam mencapai ini, kami akan terus membina momentum dijana oleh MIHAS 2023, terutamanya dalam memudahkan akses pasaran untuk pemain industri halal kami kepada rantaian bekalan utama di seluruh dunia. 

 

“Pencapaian jualan RM3.11 bilion yang membanggakan, yang melepasi sasaran kami sebanyak 24%, membuktikan bahawa MIHAS masih menjadi platform halal global terulung," katanya.

 

Tengku Zafrul berkata, paling penting, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 keselamatan ekonomi dan agenda keterangkuman. 

 

Katanya, platform seperti MIHAS juga menyumbang secara signifikan kepada kerajaan dalam usahanya untuk mengantarabangsakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) danmengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal di Asia.  

 

“Kami komited untuk mempromosikan pertumbuhan yang mampan dan memastikan industri halal terus berkembang maju secara bertanggungjawab dan mesra alam,” tambah beliau. - DagangNews.com