MIHAS 2023: Hab Pengetahuan MATRADE beri tumpuan bincang perspektif industri halal global | DagangNews Skip to main content

MIHAS 2023: Hab Pengetahuan MATRADE beri tumpuan bincang perspektif industri halal global

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 bakal menjadi platform lebih informatif dan dinamik dengan Hab Pengetahuan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memberi tumpuan kepada perbincangan perspektif industri halal global.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata tujuan platform tersebut adalah menyediakan perspektif menyeluruh mengenai cabaran dan peluang dalam industri halal global dengan menampilkan barisan pakar dan pemimpin dalam bidang masing-masing.

 

 

Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz
Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz

 

 

“Ini mempamerkan komitmen MATRADE dalam menyediakan platform perkongisan pengetahuan dan mentransformasikan ia kepada satu maklum balas dengan tindakan yang memacu kemajuan industri.

 

“Penglibatan pakar dari pelbagai negara merupakan dedikasi kami untuk mengalakkan wacana komprehensif yang merangkumi sudut pandangan global,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Selaku platform untuk menggalakkan berkongsi pengetahuan dan menjalin kerjasama, Hab Pengetahuan di MIHAS 2023 bakal dikendalikan oleh pemimpin perniagaan terkemuka yang mewakili dewan perniagaan dan persatuan perdagangan.

 

MATRADE berkata antara tumpuan utama acara berkenaan adalah sesi ‘Bertemu Pakar’ dengan 11 pembeli premium dari lapan buah negara, yang akan membincangkan peluang penyumberan dan keperluan bagi syarikat Malaysia menyertai rantaian bekalan pasaran.

 

“Sesi tersebut juga akan menampilkan perkongsian kejayaan dan perjalanan pengeksport Malaysia menembusi pasaran halal berkaitan.

 

“Topik yang dibincangkan ketika sesi itu juga akan meliputi cabaran perniagaan, termasuk adaptasi pendigitalan dan kemampanan yang penting bagi industri mengemudi landskap kawal selia yang kompleks serta perbezaan budaya bagi memudahkan proses memasuki pasaran asing,” katanya.

 

Di samping itu, Hab Pengetahuan tersebut juga akan mendalami pengalaman pembeli dan penjual yang terlibat dalam perdagangan rentas sempadan.

 

Forum itu akan memberikan perspektif 360 darjah mengenai selok-belok transaksi perniagaan antarabangsa dalam industri Halal , berkongsi amalan terbaik industri, kerumitan yang perlu dielakkan serta kisah kejayaan yang boleh dicontohi.

 

MIHAS 2023, yang merupakan edisi ke-19, akan berlangsung selama empat hari pada 12 hingga 15 September 2023 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. 

 

Maklumat lanjut Hab Pengetahuan dan cara penyertaan boleh dilayari di laman web MIHAS 2023- DagangNews.com