Milenial semarakkan pemulihan pelancongan di Malaysia bersama Airbnb | DagangNews Skip to main content

Milenial semarakkan pemulihan pelancongan di Malaysia bersama Airbnb


KUALA LUMPUR 11 Sept  Ketika Malaysia bersiap-sedia untuk membuka semula pelancongan domestik dalam beberapa bulan akan datang, Airbnb terus gagah berhadapan dengan wabak COVID-19 seiring penyertaan ratusan Hos tempatan baharu di platformnya dalam enam bulan pertama tahun 2021.

 

Lebih daripada 60% Hos Airbnb baharu pada setengah tahun pertama 2021 terdiri daripada generasi milennial berusia antara 25-40 tahun. Lima negeri yang mencatatkan penyertaan Hos baharu tertinggi ialah Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Pulau Pinang.

 

Meskipun menghadapi kitaran PKP yang serba berubah dari Januari hingga Jun, Hos Airbnb baharu telah meraih lebih RM680,000 secara kolektif melalui sambutan tetamu di Airbnb*.

 

Data ini menyusuli pengumuman global Airbnb baru-baru ini mengenai lebih 100 ciri peningkatan baharu di platformnya, termasuk mempermudahkan tawaran perkhidmatan oleh Hos.

 

Menurut satu tinjauan suku pertama 2021 yang diterajui Airbnb, satu per tiga daripada Hos rakyat Malaysia yang ditinjau mendedahkan bahawa pendapatan yang diperoleh melalui Airbnb memberi sokongan kewangan tambahan kepada isi rumah, selain membantu menjamin kelangsungan hidup dan menampung kos sara hidup**.

 

Pengurus Besar Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Amanpreet Bajaj berkata, tidak dinafikan tahun 2021 sungguh mencabar kerana wabak COVID-19 terus menjejaskan kehidupan, perniagaan dan ekonomi negara.

 

Beliau berkata, pengehosan atau Hosting telah menawarkan sumber pendapatan tambahan kepada ramai Hos sewaktu menghadapi tekanan kewangan, sekaligus memperkasakan status ekonomi Hos-hos baharu ini.  

 

 

amanpreet bajaj
Amanpreet Bajaj

 

 

“Dengan tumpuan kini beralih kepada pembukaan semula pelancongan, keselamatan tetamu dan Hos tetap menjadi keutamaan Airbnb. Pada tahun lalu, kami melaksanakan proses Peningkatan Pembersihan 5 langkah, iaitu satu piawaian pembersihan dan sanitasi yang dibangunkan menerusi kerjasama dengan pakar dan diiktiraf Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), demi memberi ketenangan kepada komuniti kami.

 

''Kami bertekad menyokong usaha pemulihan pelancongan negara, dan akan terus berusaha mencari ikhtiar untuk memacu pelancongan yang bersih lagi selamat,” tambahnya.

 

Sepanjang tempoh PKP tahun ini, data Airbnb menunjukkan ramai rakyat Malaysia mula meneroka minat baharu dalam format maya menerusi Pengalaman Dalam Talian Airbnb***. Tidak kira menikmati aktiviti seisi keluarga mahupun mempelajari sesuatu kemahiran baharu, berikut merupakan Pengalaman Dalam Talian paling popular dalam kalangan tetamu Malaysia pada Jun 2021:

  1. Mencari Harta Karun di Ruang Tamu
  2. Permainan ‘No Spain no Game’ yang Mengujakan!
  3. Menyajikan Taco Jalanan Mexico Bersama Cef Profesional
  4. Pertunjukan Sarkas
  5. Kelas Membancuh Kopi Taraf Dunia
  6. Resipi Pasta Nenek

 

Memandangkan impak pandemik telah mencetuskan pelbagai keperluan baharu, Airbnb terus berusaha menyokong dan memperkasakan komuniti di sekeliling Hos-nya.

 

Pada Jun 2021, tiga organisasi di Malaysia, iaitu Teach for MalaysiaSt Nicholas’ Home Penang, dan Liberty to Learn Berhad telah dipilih sebagai antara 150 penerima Dana Komuniti Airbnb, selari dengan janji Airbnb untuk mengagihkan ASD$100 juta dalam tempoh 10 tahun kepada organisasi-organisasi yang memperkasakan komuniti di seluruh dunia. - DagangNews.com

 

 

* Berdasarkan data dalaman Airbnb yang mengukur pendapatan Hos Malaysia baharu dalam tempoh Januari hingga Jun 2021.
** Tinjauan dari 1 Februari 2021 hingga 3 Mac 2021 untuk Hos Rumah yang menghoskan pelancongan pada tahun 2020.
*** Berdasarkan data dalaman Airbnb yang mengukur carian berdasarkan lokasi tetamu pada Jun 2021.