MIMOS lantik Dr Jasmine Begum sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif | DagangNews Skip to main content

MIMOS lantik Dr Jasmine Begum sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif

KUALA LUMPUR 20 Ogos - MIMOS Berhad melantik Dr Jasmine Begum sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif berkuat kuasa 8 Ogos lalu, menggantikan Datuk Seri Ibrahim Ahmad yang telah berkhidmat sebagai pengerusi syarikat itu sejak 1 Julai 2022 sehingga 15 Ogos 2023.

 

Kini, Dr Jasmine mengetuai Urusan Korporat dan Hal Ehwal Undang-Undang di Microsoft khususnya rantau ASEAN dalam menangani isu-isu teknologi merentasi disiplin, dasar dan masyarakat.

 

Beliau membawa pengalaman lebih 30 tahun serta menerima pengiktirafan dalam bidang undang-undang, dasar, peraturan, geostrategi dan komunikasi.

 

Sebelum menyertai Microsoft, Dr Jasmine telah memegang jawatan kepimpinan di Dell, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Pejabat Eksekutif Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

 

Beliau juga merupakan rakyat Malaysia pertama dilantik dalam Kumpulan Penasihat Pelbagai Pemegang Kepentingan (MAG), Forum Tadbir Urus Internet (IGF) oleh Setiausaha Agung PBB. 

 

Kejayaan beliau turut diiktirafkan melalui anugerah berprestij seperti Anugerah Pemimpin Wanita Tan Sri Napsiah Omar oleh Institut Pengurusan Wanita (WIM) dan Anugerah Kepimpinan Global, khususnya dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

 

Penghormatan itu mengiktirafkan sumbangan beliau dalam memajukan dasar ketercapaian, mempromosikan wanita dalam bidang teknologi dan membentukkan landskap dasar serta peraturan teknologi termaju.

 

Dr Jasmine juga merupakan penasihat dalam pelbagai Agensi Ekonomi Digital di Malaysia serta Pertubuhan Pelbagai Hala dan Antarabangsa.

 

Beliau memiliki dwi ijazah dalam bidang undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), beliau juga telah melanjutkan pengajian pascasiswazah di UK serta mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang perniagaan dan hak asasi manusia. 

 

Kini, beliau berkhidmat sebagai Profesor Adjung di beberapa universiti dan telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Antarabangsa Unitar atas kepimpinan dan sumbangan cemerlang beliau dalam dasar awam dan tadbir urus.

 

MIMOS yakin pengetahuan luas Dr Jasmine dalam bidang teknologi, dasar dan hal ehwal global serta keupayaan beliau dalam memimpin organisasi kompleks, akan memainkan peranan penting bagi membawa syarikat ke puncak kejayaan baru.- DagangNews.com