MIMOS sasar penyertaan 1,000 calon jalani latihan, pensijilan Huawei | DagangNews Skip to main content

MIMOS sasar penyertaan 1,000 calon jalani latihan, pensijilan Huawei

KUALA LUMPUR 28 April - MIMOS Berhad, agensi penyelidikan dan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), menyasarkan penyertaan 1,000 calon bagi menjalani latihan dan pensijilan ‘Huawei Certified IT Associate’.

 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, latihan dan pensijilan profesional itu, terangkum di bawah Program Transformasi Digital yang akan dilancarkan MIMOS pada Jun 2022, bagi memilih bakat-bakat dalam kalangan syarikat-syarikat tempatan berasaskan ICT.

 

“Latihan dan persijilan ini memberi fokus kepada lima bidang utama iaitu 5G, internet kebendaan (IoT), ‘Big Data’, Kecerdasan Buatan (AI) dan ‘Radio Access Network’,” katanya majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Huawei Malaysia dan MIMOS Berhad di sini hari ini, lapor Bernama.

 

Beliau berkata, MoU antara MIMOS dan Huawei itu, membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama membentuk program kemahiran teknologi yang dapat menambah baik kepakaran digital dalam kalangan tenaga kerja tempatan.

 

Adham berkata, menerusi keupayaan, kepakaran dan kerjasama antara MIMOS dan Huawei Malaysia akan meningkatkan kemahiran dan daya saing yang mampan dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

“MOSTI akan terus memberi penekanan kepada kemahiran kumpulan bakat sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara, melalui sokongan dan kerjasama dengan pelabur dan rakan perniagaan berpotensi,” katanya.

 

mimos

 

Beliau berkata, usaha itu sejajar dengan Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia, yang dimandatkan kepada MOSTI untuk mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan dalam bidang ‘Deeptech and Futureskills’.

 

Program latihan ‘Upskilling for Deeptech and Futureskills' merupakan inisiatif MOSTI untuk membantu industri mendapatkan pekerja berkredibiliti dan mempunyai kemahiran yang kompeten selain membangunkan kapasiti pekerja melalui pendedahan kepada keperluan sebenar industri.

 

Beliau berkata, program itu bertujuan membantu rakyat Malaysia terutamanya mereka yang hilang sumber pendapatan, untuk kembali menjana pendapatan stabil serta berpeluang meningkatkan kemahiran diri.

 

Pada masa yang sama, Huawei turut mengumumkan bahawa syarikat teknologi itu akan terus memilih Malaysia sebagai lokasi Ibu Pejabat Asia Pasifik Huawei, berpangkalan di Tun Razak Exchange (TRX). - DagangNews.com