Minat terhadap model kerja hibrid dan jarak jauh dalam pasaran pejabat tempatan semakin meningkat -Knight Frank Malaysia | DagangNews Skip to main content

Minat terhadap model kerja hibrid dan jarak jauh dalam pasaran pejabat tempatan semakin meningkat -Knight Frank Malaysia

​​​​​​​Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 27 Jan - Kerja jarak jauh dan ruang kerja bersama akan terus mendapat perhatian daripada syarikat-syarikat, terutamanya syarikat multinasional (MNC) yang mengkaji semula strategi tempat kerja masa depan mereka.

 

Menurut Knight Frank Malaysia dalam laporan sorotan hartanahnya,  pengambilan ruang dijangka hanya berlaku dalam sektor perniagaan terpilih yang berkaitan dengan e-dagang, kebersihan dan penjagaan kesihatan, insurans dan sebagainya. 

 

Katanya, sekatan dari 2020 hingga 2021 telah mempercepatkan penggunaan aturan kerja jarak jauh dan hibrid dalam kalangan perniagaan.

 

Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Korporatnya, Teh Young Khean berkata, dengan kejayaan pelancaran program vaksinasi nasional yang membawa kepada pelonggaran sekatan secara beransur-ansur pihaknya mula melihat pemulihan beransur-ansur pasaran pejabat pada 3Q2021 dan 4Q2021 , terutamanya dalam segmen perkongsian ruang kerja.

 

“Model kerja jauh dan hibrid membolehkan syarikat mempunyai lebih banyak ruang sambil menilai keperluan untuk meningkatkan atau mengurangkan tenaga kerja mereka (ruang yang diduduki) bergantung pada keperluan perniagaan dan keadaan pasaran mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

 

Tambahnya, ruang kerja bersama, yang menawarkan ruang pejabat lengkap yang tersedia, memberikan syarikat keupayaan untuk memenuhi keperluan operasi mereka dengan cepat. 

 

Ujarnya, ia adalah pilihan menarik yang sedang diterokai oleh banyak organisasi, dan akan menjadi trend berterusan kerana perniagaan tetap berhati-hati terhadap varian baharu COVID-19.

 

Menurut laporan tersebut, Kuala Lumpur merupakan kawasan tumpuan awal bagi anyak pengendali ruang kerja bersama, oleh itu pertumbuhan segmen pasaran ini di sub-lokal di bandar ini adalah mantap.

 

"Trend ruang kerja bersama mula menjadi semakin menonjol di negeri-negeri lain di negara ini. 

 

“Lebih banyak syarikat sedang meneroka ruang kerja bersama, trend yang semakin popular di Johor Bahru kerana ia menawarkan fleksibiliti untuk meningkatkan atau menurunkan operasi perniagaan pada masa yang tidak menentu," katanya. -DagangNews.com