‘Mind Your Ringgit’ ajar belia urus kewangan | DagangNews Skip to main content

‘Mind Your Ringgit’ ajar belia urus kewangan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Mac - Bersempena Minggu Kewangan Global, Visa melancarkan permainan web bertema celik kewangan, 'Mind Your Ringgit' yang dibangunkan seiring dengan tema rasmi kempen 'Jaga Diri Sendiri, Jaga Wang Anda’.

 

Permainan simulasi selama 12 bulan itu merangkumi elemen-elemen kepentingan pembinaan kecekalan kewangan dan kestabilan ketika waktu-waktu senang mahupun sukar.

 

Menurut Visa, diambil daripada singkatan MYR, yang merupakan kod antarabangsa bagi ringgit, permainan itu telah dibangunkan dengan sokongan Financial Education Network, dipengerusi bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

 

Pengurus Negara bagi Malaysia Visa, Ng Kong Boon berkata, Mind Your Ringgit direka khusus untuk menguruskan kewangan belia Malaysia setelah mereka mula memperoleh gaji sendiri.

 

Ng Kong Boon
Ng Kong Boon

 

“Kami telah menyertakan tema kewangan seperti penipuan kewangan, pembayaran digital, insurans, pelaburan, pinjaman dan simpanan dengan harapan ia akan mewujudkan kesedaran mengenai situasi yang mereka bakal hadapi dalam kehidupan sebenar.

 

“Menerusi simulasi-simulasi ini, kami berharap dapat menyediakan ruang selamat untuk peserta belajar, berjimat dan meraih pendapatan ketika mereka meneroka pelbagai pilihan berbeza.

 

“Permainan ini juga menyediakan maklum balas segera kepada peserta menerusi penambahan atau pengurangan wang, kesihatan dan kebahagian apabila mereka membuat setiap keputusan selain petua-petua kewangan pada akhir setiap bulan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Mind Your Ringgit adalah permainan berasaskan pilihan di mana peserta akan ditanya soalan yang relevan kepada senario kehidupan sebenar.

 

Mereka kemudiannya dikehendaki membuat keputusan kewangan dan gaya hidup berdasarkan pilihan yang akan memberi kesan kepada wang, kesihatan dan kebahagian mereka.

 

Bagi memulakan permainan, peserta dikehendaki memilih matlamat yang ingin mereka capai dalam masa setahun.

 

Pada setiap bulan, mereka perlu meraih pencapaian untuk maju ke tahap permainan seterusnya.

 

Sebahagian daripada pencapaian itu ialah memastikan peserta mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar komitmen kewangan mereka.

 

Menerusi permainan berkenaan, peserta juga boleh mengguna pakai alat pengurusan bajet untuk mengawasi simpanan, hutang dan komitmen bagi membantu mereka mengurus wang secara bijak.

 

Mind Your Ringgit pada masa ini diterbitkan menerusi empat fasa iaitu setiap dua minggu di mana rakyat Malaysia boleh mengaksesnya di https://www.mindyourringgit.com/. – DagangNews.com