MINDEF akan bina Hospital Kem Terendak baharu bernilai RM325 juta tahun depan | DagangNews Skip to main content

MINDEF akan bina Hospital Kem Terendak baharu bernilai RM325 juta tahun depan

HAT Kem Terendak dibuka pada tahun 1965 oleh tentera Komanwel.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 9 Nov - Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memulakan projek pembinaan Hospital Angkatan Tentera (HAT) Kem Terendak, Melaka yang baharu pada pertengahan tahun depan.

 

Projek hospital dengan kapasiti 150 katil ini telah diluluskan tahun lepas dengan kos dianggarkan kira-kira RM325 juta.

 

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ia bagi menggantikan fasiliti sedia ada di hospital berkenaan yang beroperasi sejak tahun 1964.

 

Hospital
Wajah asal HAT Kem Terendak.

 

Menurut beliau, hospital baharu itu akan dilengkapi dengan kepakaran diperlukan dalam menyokong keperluan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

"Antaranya seperti kemudahan dewan bedah, unit rawatan rapi (ICU), kepakaran traumatologi, pembedahan am, ortopedik dan perubatan dalaman,

 

“Turut disediakan ialah perkhidmatan klinik keluarga dan pesakit luar, pusat rehabilitasi serta kemudahan rawatan pergigian yang pastinya memberi manfaat kepada seluruh warga ATM, veteran ATM dan juga penduduk sekitar,” katanya di Dewan Rakyat.

 

HAT Kem Terendak juga bakal dilengkapi kemudahan perubatan moden seperti Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) selain dihubungkan melalui sistem pengurusan hospital secara digital.

 

Hospital

 

Hospital

 

Menurut Adly, sistem berkenaan membolehkan maklumat pesakit dapat dikongsi secara bersama antara fasiliti kesihatan milik ATM dan awam secara maya.

 

HAT Kem Terendak bukan sahaja digunakan oleh warga ATM dan veteran, malah peratusan tertinggi melibatkan orang awam terutamanya di sekitar Sungai Udang.

 

Setiap tahun hospital ini direkodkan menerima kira-kira 64,000 pesakit termasuk orang awam justeru pembinaan hospital baharu yang lebih selesa adalah perlu.

 

Kem Terendak asalnya menempatkan Briged Tentera Komanwel pada tahun 1950an yang dibina lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk hospital sebelum diserahkan kepada ATM pada tahun 1970.- DagangNews.com