MINDEF, Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan fokus perkukuhkan keselamatan siber negara | DagangNews Skip to main content

MINDEF, Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan fokus perkukuhkan keselamatan siber negara

Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin (tengah) bersalam dengan salah seorang peserta persidangan ASEAN Cyber Defence.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Keselamatan siber negara perlu diperkukuhkan melibatkan kerjasama antara agensi dalam menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks. 

 

Ini kerana keselamatan ekosistem siber negara merupakan tanggungjawab bersama dan tidak terletak semata-mata pada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi-agensi siber berkaitan. 

 

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, menerusi kerjasama membolehkan pihak kerajaan merancang pelan-pelan tertentu serta bergerak ke hadapan dalam memastikan keselamatan ekosistem siber negara.

 

Menurut beliau, ia bukan sahaja relevan, malah mampu meramal serta memberi tindak balas terhadap sebarang ancaman yang mendatang. 

 

Adly
Adly (tengah) bersama Affendi (kiri) dan Shamsuddin semasa merasmikan Siber Siaga 2023 dan Cyber DSA 2023 di Kuala Lumpur.

 

Siber

 

"Semua agensi berkaitan siber perlu bersatu dan berganding melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Society (WoGoS).

 

"Ini dalam memastikan kemampanan keselamatan ekosistem siber negara ini dan mengelakkan ancaman peperangan atau serangan yang dibuat secara hibrid

 

"Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan bekerjasama dengan agensi utama pertahanan bagi memastikan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) bergerak seiring dengan organisasi siber pertahanan di rantau ini mahupun global," ujarnya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Siber Siaga 2023 dan Cyber DSA 2023 di Kuala Lumpur Convention Centre hari ini.

 

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan ATM, Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin.

 

Sidang

 
Sebahagian
Dua pegawai ATM bertukar pandangan dengan wakil industri yang terlibat pada pameran Cyber DSA 2023.

 

Siber Siaga 2023 dan Cyber DSA 2023 bertujuan menyampaikan pengetahuan terkini dan cerapan menarik tentang keselamatan siber daripada pemain industri.

 

Ia merangkumi teknologi canggih yang melindungi ekonomi digital dan memupuk daya saing global.

 

Selain itu, BSEP juga telah berjaya mengadakan persidangan ASEAN Cyber Defence (ACDN) kali kedua. 

 

Pada persidangan ini, para pemimpin siber negara ASEAN juga telah berkumpul dan bertukar pendapat dalam memastikan agenda keselamatan siber dapat dibina dan diperkembangkan. 

 

BSEP ATM berperanan dalam memperkasakan usaha serta kredebiliti ATM menangani ancaman siber dan elektromagnetik yang boleh menggugat kedaulatan negara.
BSEP ATM berperanan dalam memperkasakan usaha serta kredibiliti ATM dalam menangani ancaman siber dan elektromagnetik yang boleh menggugat keselamatan negara.
​​​​​​

 

Pertemuan bersejarah ini juga telah membuka ruang kerjasama dalam membentuk satu komuniti siber serantau.

 

Siber Siaga 2023 dan Cyber DSA 2023 turut menarik penyertaan 70 syarikat untuk bersama mengambil bahagian di samping kehadiran 1,100 orang ahli-ahli profesional, penyertaan 18 universiti tempatan serta agensi kerajaan. - DagangNews.com