Mindef tamatkan khidmat APC Radpanzer Condor, Malbatt guna perisai Panthera | DagangNews Skip to main content

Mindef tamatkan khidmat APC Radpanzer Condor, Malbatt guna perisai Panthera

Kenderaan Ejder Yalcin yang dihasilkan oleh syarikat Turkiye, Nurol Makina.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 11 Mac - Setelah 40 bertahun berkhidmat, penggunaan kenderaan perisai pembawa anggota (APC) Radpanzer Condor akan ditamatkan apabila diganti dengan Panthera 4x4.

 

Sebanyak 20 buah kenderaan perisai buatan Turkiye ini menggantikan sebahagian skuadron Radpanzer Condor yang berkhidmat bersama pasukan tentera pengaman negara (Malbatt) di Lebanon.

 

Kenderaan tersebut akan dioperasikan oleh Malbatt pada April ini.

 

Tentera Darat akan melakukan proses ujian penerimaan terakhir pada bulan ini sebelum kenderaan berkenaan dihantar ke sana.

 

APC
Kenderaan Panthera 4x4 yang bakal menggantikan Radpanzer Condor.

 

Panthera merupakan designasi tempatan untuk kenderaan Ejder Yalcin yang dihasilkan oleh syarikat Turkiye, Nurol Makina.

 

Pembelian Panthera 4x4 ini melibatkan kos sebanyak RM190 juta.

 

Kenderaan perisai Panther mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2018 dan telah menjalani pelbagai ujian.

 

Panthera 4x4 dengan saiz seberat 14 tan mampu membawa pelbagai muatan sehingga 4 tan

 

Kenderaan perisai ini mampu memecut sehingga 110 kilometer (km) sejam dengan radius operasi sejauh 600km menggunakan enjin 300 kuasa kuda.

 

APC
Radpanzer Condor digunakan Malbatt di Lebanon sejak 2007.

 

APC

 

Kontrak perolehan kenderaan ini dibuka Mindef yang pada mulanya untuk menggantikan kenderaan IAG Guardian buatan United Kingdom yang digunakan Malbatt.

 

Pembelian IAG Guardian pada tahun 2018 adalah untuk menggantikan 9 buah kenderaan APC Radpanzer Condor yang telah rosak.

 

IAG Guardian sebelum ini terpalit dengan kontroversi kerana tidak memenuhi spesifikasi sepertimana yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019.

 

Bagaimana pun, kenderaan tersebut masih lagi dikira sebagai Contingent Own Equipment (COE) dan diterimapakai untuk operasi pengaman Malbatt di Lebanon.

 

Jadi secara teknikalnya adalah lebih baik kenderaan Panthera menggantikan Radpanzer Condor agar Malbatt memiliki kenderaan perisai yang lebih baik dan moden.

 

APC

 

Penggunaan Panthera juga dikatakan sesuai dengan corak operasi pasukan pengaman di sana.

 

Difahamkan, baki 20 buah lagi APC Radpanzer Condor di Lebanon akan ditukar secara berperingkat-peringkat cuma tempoh sebenarnya belum dinyatakan.

 

Kerajaan sebelum ini telah meluluskan peruntukan RM400 juta untuk perolehan 60 buah kenderaan High Mobility Light Tactical Vehicle yang mana sebahagiannya akan dihantar ke Lebanon.

 

Cuma proses perolehan ini dijangka memakan sedikit masa untuk dilaksanakan.

 

Kenderaan Radpanzer Condor ini telah berkhidmat di Lebanon sejak tahun 2007 iaitu semasa penghantaran kumpulan pertama Malbatt ke sana.

 

APC
IAG Guardian semasa dikendalikan anggota Malbatt.

 

APC
Kenderaan pacuan empat roda buatan Cendana Auto yang turut digunakan Malbatt.

 

Radpanzer Condor dibeli antara tahun 1981-1984 sebanyak 224 buah sebagai sebahagian daripada pemodenan Tentera Darat ketika itu.

 

Sejak 10 tahun lalu, Tentera Darat merancang untuk menggantikan Radpanzer Condor, namun batasan kewangan menyebabkan hasrat tersebut tergendala.

 

Sepanjang tempoh itu pasukan Kor Armor Diraja dan batalion mekanise telah menggantikan Radpanzer Condor secara berperingkat-peringkat.

 

Walaupun pembelian Panthera bukanlah bagi program penggantian kenderaan APC Radpanzer Condor yang sedang dirancang Mindef tetapi ia dilihat sebagai permulaan positif.

 

APC
Kenderaan perisai Badak buatan PT Pindad, Indonesia untuk mengintai peluang menggantikan Radpanzer Condor.

 

Ini kerana program penggantian Radpanzer Condor melibatkan pembelian 136 buah kenderaan perisai dalam kategori sama ataupun setanding dengan Condor.

 

Jumlah ini bagi menampung keperluan dua buah rejimen Kor Armor Diraja selaku pengguna utama Radpanzer Condor.

 

Semasa pembentangan Belanjawan 2022, kerajaan pada masa itu telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM12.049 bilion bagi pembelian kenderaan jenis A 4x4 iaitu dalam kelas Radpanzer Condor.

 

Termasuk dalam pembelian ini ialah kenderaan jenis B bagi meningkatkan keupayaan Tentera Darat. - DagangNews.com