MINDEF yakin sasaran RM10 juta kutipan Kempen Tabung Pahlawan 2023 dicapai dengan sokongan swasta, korporat | DagangNews Skip to main content

MINDEF yakin sasaran RM10 juta kutipan Kempen Tabung Pahlawan 2023 dicapai dengan sokongan swasta, korporat

Mohamad menerima replika cek daripada Pengerusi Boustead Holdings Berhad, Dato' Ahmad Nazim Abd Rahman (kanan) semasa merasmikan Kempen Tabung Pahlawan 2023.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Penglibatan syarikat swasta dan korporat diseru untuk sama-sama menyumbang pada Kempen Tabung Pahlawan 2023 bagi membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Menerusi sokongan itu Kementerian Pertahanan (MINDEF) yakin sasaran kutipan sebanyak RM10 juta untuk mengisi tabung itu boleh dicapai.

 

Bagi maksud tersebut, tempoh kempen Tabung Pahlawan yang bermula bulan ini bertemakan 'Demi Mu Pahlawan Ku' itu akan diteruskan hingga Julai 2024.

 

Kempen Tabung Pahlawan adalah usaha sebagai satu tabung bantuan kecemasan bagi menyantuni komuniti veteran ATM yang memerlukan bantuan serta sokongan yang mungkin tidak dapat disalurkan oleh kerajaan dalam keadaan tertentu. 

 

Kempen
Mohamad mengisi tabung sebagai gimik pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2023.

 

Sumbangan daripada tabung ini digunakan untuk meringankan beban kewangan keluarga veteran terutamanya seperti bantuan kesihatan yang tidak dapat dilaksanakan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV ATM).

 

Melalui inisiatif ini juga, ia dapat merangsang dan meningkatkan tahap partriotisme sekali gus memupuk semangat menghargai jasa veteran dalam kalangan semua lapisan rakyat Malaysia

 

Bagi menggalakkan penyertaan daripada pelbagai pihak, sumbangan yang dihulurkan akan diberi penolakan daripada cukai pendapatan di bawah kuasa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

 

Terdahulu, Kempen Tabung Pahlawan 2023 dirasmikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira di sini.

 

 

Tabung

 

Sumbangan
Mohamad menyampaikan sumbangan Tabung Pahlawan kepada salah seorang veteran ATM yang hadir pada majlis pelancaran tersebut.

 

Hadir sama Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus.

 

Pada majlis sama, beliau turut menerima sumbangan korporat dari para penyumbang Tabung Pahlawan bagi tahun 2023.

 

Antaranya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Bhd, BHPetrol, DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd., Rasumi Medipharma Sdn. Bhd. dan Bank Mualamat.

 

Orang ramai juga berpeluang menyumbang menerusi akaun Yayasan Veteran ATM iaitu Malayan Banking Berhad (5643 4262 2956), CIMB Islamic Bank Berhad (8604 2715 71) atau Tabung Rayuan Hari Pahlawan di Affin Islamic Bank Berhad (1059 5000 3201) dan di laman https://tabungpahlawan.com/. - DagangNews.com

 

Tabung