Minetech catat pendapatan RM35 juta pada 3QFY24 | DagangNews Skip to main content

Minetech catat pendapatan RM35 juta pada 3QFY24

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - Minetech Resources Berhad mencatat pendapatan RM35 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24), menurun 3.8% daripada RM36.3 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Minetech dalam satu kenyataan media hari ini berkata, Bahagian Kejuruteraan Awam menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan, menyumbang pendapatan RM25.9 juta dengan keuntungan operasi RM3 juta, disokong oleh peningkatan jumlah kerja yang ketara di Lombong Emas Selinsing (SGM) dan usaha niaga baharu seperti jalan Taman Perindustrian Banting dan kerja-kerja saliran.

 

Walaupun segmen Produk Bituminous menghadapi penurunan hasil sederhana kepada RM7.69 juta, kumpulan itu berkata segmen tersebut mempamerkan keuntungan operasi yang dipertingkatkan sebanyak RM0.9 juta. 

 

Sementara itu, segmen tenaga yang baharu diwujudkan menyumbang secara positif dengan pendapatan RM1.3 juta, menandakan kejayaan Minetech dalam usaha tenaga boleh diperbaharui.

 

Secara kumulatif, pendapatan kumpulan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2024 (9MFY24) meningkat 8% kepada RM94.7 juta daripada RM87 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Minetech turut berkongsi bahawa anak syarikatnya, Minetech Construction Sdn. Bhd. (MCSB) memperoleh pembaharuan kontrak yang besar dengan Able Return Sdn. Bhd. dan Damar Consolidated Exploration Sdn. Bhd. untuk Projek Lombong Emas Selinsing, bernilai kira-kira RM230 juta. 

 

Pembaharuan ini, berkuat kuasa dari 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2026, menandakan peningkatan dalam jumlah pengeluaran dan nilai kontrak, mencerminkan kawasan perlombongan dan skop operasi yang diperluas, menetapkan trajektori positif untuk projek masa depan Minetech. 
 

Pengerusi Eksekutif Minetech, Abang Abdillah Izzarim berkata beliau teruja dengan prestasi Minetech pada suku ini, yang jelas menyerlahkan hala tuju strategik dan kebolehsuaian kumpulan.

 

“Pembaharuan kontrak untuk Projek Lombong Emas Selinsing adalah bukti kukuh kepada keupayaan kami dan komitmen teguh kami terhadap pertumbuhan. Portfolio dan usaha strategik kami yang pelbagai sedang meletakkan asas untuk kejayaan yang berkekalan. 

 

“Saya komited untuk bukan sahaja meneruskan trajektori ini tetapi juga untuk menyokong dan mengemudi Minetech secara aktif untuk membuka kunci nilai yang lebih besar bagi semua pemegang kepentingan kami,” tambahnya.
 

Saham Minetech ditutup rendah 0.5 sen atau 3% kepada 16 sen dengan permodalan pasaran RM285.5 juta. - DagangNews.com