KUALA LUMPUR 6 Jan - Minggu MyFintech (MyFW) 2022 oleh Bank Negara Malaysia (BNM), yang akan diadakan secara maya dari 24 hingga 28 Jan, akan menampilkan lebih 100 penceramah daripada industri kewangan dan teknologi.
MyFW 2022, bertemakan ‘Memacu Pendigitalan untuk Pemulihan, Kemampanan, Keterangkuman’, dijangka meliputi pelbagai isu mendesak yang dihadapi masa depan industri kewangan.
Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, pakar dari seluruh dunia akan berkongsi pandangan mereka semasa MyFW 2022, berteraskan tujuh keutamaan iaitu kemampanan, daya tahan, realiti baharu kewangan, ekonomi, tahap kewangan dan keterangkuman, syarikat pemula niaga serta pengawalseliaan.
“Pandangan jauh mereka boleh memberikan maklumat dan menginspirasikan tindakan berkaitan isu kritikal yang sektor kewangan perlu tangani.
“Sektor kewangan perlu bersedia dengan baik untuk menyokong transformasi ekonomi kita ke arah masa depan yang lebih inovatif, mampan dan digital,” katanya dalam kenyataan pada Khamis, lapor Bernama.
Antara penceramah ialah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus; Pentadbir Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP), Achim Steiner; Pengerusi Lembaga Pengarang dan Editor Tugas-tugas Khas Financial Times, Gillian Tett serta Ketua Evangelis Analisis Google, Kevin Hartman.
Menurut BNM, persidangan utama dari hari pertama hingga keempat akan mengetengahkan beberapa ucaptama, bicara teknologi, sesi panel dan sesi sembang mengenai isu penting yang mempengaruhi landskap kewangan dan ekonomi masa depan Malaysia.
Pelan Tindakan Sektor Kewangan Malaysia 2022-2026 juga akan dilancarkan pada hari pertama, diikuti dengan perbincangan untuk menyepadukan perspektif daripada BNM dan pihak industri dalam menempa visi bersama mengenai masa depan industri kewangan negara, jelasnya.
BNM menambah, sesi gaya bengkel juga akan diadakan semasa MyFW 2022 melalui siri kelas utama dengan pakar industri untuk menyelami perkara penting tertentu.
Selain persidangan utama dan siri kelas utama, MyFW 2022 turut menyediakan peluang untuk perniagaan mengakses sokongan bagi pertumbuhan dan inovasi pada hari keempat dan kelima.
“Antara lain, syarikat pemula niaga boleh menjadualkan sesi perundingan bersemuka mengenai isu pengawalseliaan dan pematuhan.
''Pada masa sama, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan boleh mengakses saluran sokongan khusus meliputi isu seperti pendigitalan, bakat dan pembiayaan serta pelaburan.
“Program pemecut MyFW 2022 juga akan menampilkan 15 inovasi yang sejajar dengan matlamat pembangunan mampan, serta demo secara langsung pada hari keempat,” menurut BNM. - DagangNews.com