Minggu Saham Digital PNB raih lebih 2 juta tontonan  | DagangNews Skip to main content

Minggu Saham Digital PNB raih lebih 2 juta tontonan 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Walaupun dianjurkan secara maya, namun Minggu Saham Digital (MSD) anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah mencatatkan lebih dua juta tontonan dalam tempoh tujuh hari.

 

MSD merupakan adaptasi digital Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang dilaksanakan setiap tahun. 

 

PNB dalam sebuah kenyataan berkata, program hibur didik yang bersiaran langsung dan bertemakan #LaburBersama bertujuan meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia daripada semua peringkat umur, melalui pelbagai program yang memfokuskan kepada kepentingan melabur dan merancang kewangan. 

 

MSD telah berjaya mencapai 7.5 juta capaian unik di laman Facebook rasminya dan meraih 2.2 juta tontonan terkumpul di laman rasmi MSD iaitu Facebook, saluran YouTube, dan laman web dengan 11.5 juta tayangan (impression). 

 

Pada Majlis Pengumuman Pemenang MSD yang diadakan secara maya pada 10 Disember yang lepas, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pihaknya sangat berbesar hati dengan penerimaan luar biasa MSD yang julung kali diadakan dan telah melebihi jangkaan. 

 

Ahmad Zulqarnain Onn
Ahmad Zulqarnain Onn

 

“Langkah menuju penganjuran Minggu Saham secara digital telah membantu kami memperluas jangkauan kami kepada lebih ramai rakyat Malaysia,” jelas Ahmad Zulqarnain seperti dipetik dalam kenyataan PNB.

 

Kata institusi itu, laman web rasmi MSD telah dikunjungi sebanyak 1.3 juta kali, peraduan Eh Mana Kod? telah meraih lebih daripada 540,000 penyertaan daripada lebih 27,000 peserta, manakala konsert mega maya Pass the Mic! mencatatkan lebih daripada 80,000 tontonan. 

 

Sebagai tanda penghargaan, PNB juga memberi peluang kepada orang ramai yang mengikuti program MSD untuk memenangi hadiah bernilai lebih daripada RM500,000 menerusi pelbagai peraduan yang diadakan sebelum dan semasa MSD. 

 

Peraduan Eh, Mana Kod? mencatatkan seramai 27,339 peserta, yang telah menghantar sejumlah 547,116 kod. 

 

MSD-pemenang

 

Linclon Sengalang Anak Juing, 24, dari Sarawak, diumumkan sebagai pemenang hadiah utama yang memenangi Ford Ranger 2.0L XLT Plus 4WD, kata PNB.

 

“MSD memaparkan lebih daripada 70 program hibur didik bertujuan merapatkan jurang literasi kewangan dan mendorong semua rakyat Malaysia untuk meningkatkan pengetahuan kewangan diri dan keluarga dengan memanfaatkan peralatan dan sumber yang sedia ada. 

 

“Konsert mega maya Pass the Mic! telah mengumpul sebanyak 87,059 tontonan pada 21 November 2020 di laman rasmi Facebook MSD. 

 

“Konsert secara maya ini menampilkan persembahan daripada artis-artis berbakat seperti Hael Husaini, Akim Ahmad, Dayang Nurfaizah, K-Clique, DJ Cza dan Aman Ra, yang membuat persembahan secara langsung di rancangan tersebut,” tambah PNB. 

 

Dalam pada itu, MSD turut menawarkan khidmat perancangan kewangan melalui sesi bersemuka bersama-sama perunding dari ASNB, AmBank (M) Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, CIMB Bank Berhad dan RHB Bank Berhad. 

 

Rundingan persendirian selama 30 minit ini dilakukan secara maya menerusi Join.Me. - DagangNews.com