Minyak sawit menuju penutupan tertinggi dalam sejarah akibat kekangan bekalan | DagangNews Skip to main content

Minyak sawit menuju penutupan tertinggi dalam sejarah akibat kekangan bekalan

 

 

KUALA LUMPUR 12 Jan - Minyak sawit kini berada dalam landasan untuk merekodkan penutupan pada paras tertinggi dalam sejarah berikutan kebimbangan terhadap kekangan bekalan di Malaysia akibat masalah tenaga buruh dan banjir. 

 

Penanda aras niaga hadapan melonjak sehingga 0.9% kepada RM5,112 satu tan metrik sebelum diniagakan pada RM5,077 satu tan metrik menjelang rehat tengah hari, demikian menurut laporan Bloomberg hari ini. 

 

Dalam penutupan Selasa, minyak tropika ini yang digunakan untuk masakan hinggalah kepada aiskrim dan bahan pencuci, berakhir di bawah paras tertinggi setakat ini pada RM5,071 satu tan metrik yang ditetapkan pada Oktober. 

 

Ketua Strategi Perdagangan dan Lindung Nilai di Kaleesuwari Intercontinental, Gnanasekar Thiagarajan berkata, pasaran kini lebih tertumpu kepada isu bekalan. 

 

Katanya, masalah kekurangan tenaga buruh akan terus menjadi penghalang bagi niaga hadapan minyak sawit mentah. 

 

"Statistik inventori yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), adalah lebih rendah daripada jangkaan ekoran kekurangan tenaga buruh dan banjir di beberapa kawasan penanaman utama, turut menyokong sentimen. 

 

"Oleh itu, minyak sawit boleh diniagakan antara RM4,900 hingga RM5,250 minggu ini," katanya dalam laporan tersebut. 

 

Pada Isnin, data MPOB menunjukkan paras inventori susut 12.9% kepada 1.58 juta tan metrik pada Disember berbanding bulan sebelumnya, jauh di bawah 1.7 juta tan metrik yang dianggarkan oleh kaji selidik Blooomberg. 

 

Ini disebabkan pengeluaran merosot paling banyak dalam tempoh 11 bulan kepada 1.45 juta tan metrik. 

 

Sementara itu, Pengarah Pelindung Bestari, Paramalingam Supramaniam berkata, kebimbangan terhadap cuaca ekstrem di Amerika Selatan dan jangkaan laporan kenaikan harga daripada Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (AS) terhadap bekalan dan permintaan dunia untuk tanaman juga menyokong minyak sawit.

 

Pengurus Kanan Komoditi di Phillip Futures Pte., Avtar Sandu pula berkata, anggaran industri yang menunjukkan pengeluaran di semenanjung selatan Malaysia jatuh 32% dalam 10 hari pertama Januari berbanding bulan sebelumnya telah menggalakkan pasaran. 

 

"Bagaimanapun, eksport yang suram dari Malaysia pada bulan ini akan menjejaskan harga sebelum Tahun Baharu Cina pada awal Februari," jelasnya. 

 

Dalam tempoh 10 hari pertama bulan ini, anggaran juruukur kargo bebas, SGS Malaysia Sdn Bhd. mendapati penghantaran Malaysia merosot sebanyak 41%. 

 

Malah, data yang dikeluarkan Intertek Testing Services and Amspec Agri turut menunjukkan eksport merosot lebih daripada 40%. - DagangNews.com